DOSH sokong pembangunan I-OHSEM penyelidik UUM
Gambar Ts. Wan Hilemi Wan Hussain
PUTRAJAYA, 5 Mei 2025: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah mengiktiraf Interactive Occupational Hazard Self-Evaluation Module (I-OHSEM) yang sedang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM).
Ketua Pengarah DOSH, Ir. Mohd Hatta Zakaria menyatakan bahawa pada dasarnya pihak DOSH bersetuju untuk mengiktiraf I-OHSEM sebagai salah satu program latihan yang boleh diiktiraf oleh DOSH di bawah kategori Continuing Education Program (CEP).
Menurutnya, pengiktirafan itu adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), sekali gus memberi ruang kepada pelaksanaan latihan inovatif untuk meningkatkan pengetahuan, kesedaran, sikap dan tingkah laku selamat dalam kalangan pekerja merentas pelbagai sektor industri.
“DOSH mengalu-alukan inisiatif pembangunan modul interaktif seperti I-OHSEM kerana ia membuka akses yang lebih fleksibel kepada pekerja untuk menjalani latihan dan penilaian kendiri berkaitan hazard di tempat kerja.
“Modul ini dapat membina asas pengetahuan yang kukuh, meningkatkan kesedaran risiko, membentuk sikap positif terhadap keselamatan, serta mendorong amalan tingkah laku selamat secara berterusan,” katanya.
Mohd Hatta berkata, usaha mentransformasikan modul latihan dan pengajaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) kepada platform digital interaktif seperti e-pembelajaran dan kursus dalam talian (MOOC) bukan sahaja selari dengan dasar kerajaan memperluas akses latihan berkualiti melalui teknologi terkini, malah berpotensi menyokong pencapaian objektif Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMP) 2025.
Beliau turut mengalu-alukan UUM untuk mengemukakan permohonan pengiktirafan kepada JKKP atau DOSH agar dapat dinilai dan dipertimbangkan mengikut peraturan serta garis panduan yang sedang berkuat kuasa.
Ini menjadi langkah penting ke arah menjadikan I-OHSEM sebagai satu bentuk latihan yang diiktiraf dalam pematuhan kepada kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Turut serta, Pengarah Bahagian Keselamatan Industri, Ahmad Nazri Ab Kader dan Penolong Pengarah JKKP yang merupakan Alumni Sarjana Sains (Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) UUM, Ts Wan Hilemi Wan Hussain. – Ts Dr. Syazwan Syah Zulkifly