Gambar CIAC
JAKARTA, 15 Mei 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Muhammadiyah Prof. DR. HAMKA (Uhamka), Indonesia dalam satu majlis di Fakulti Ekonomi dan Bisnis (FEB) Uhamka, Jakarta.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Rektor Uhamka, Prof. Gunawan Suryoputro, yang turut disaksikan oleh barisan pengurusan kanan kedua-dua institusi termasuk timbalan-timbalan rektor, dekan-dekan serta pegawai akademik dan pentadbiran.
MoU ini merupakan kesinambungan kepada hubungan strategik yang telah terjalin sejak sedekad lalu antara UUM dan Uhamka dalam pelbagai bidang termasuk pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, mobiliti pelajar serta pengajian lanjutan bagi pensyarah Uhamka.
Dr. Mohd Foad berkata, perjanjian ini bukan sahaja memperkukuh jalinan dua hala yang sedia ada, malah membuka ruang yang lebih luas kepada inisiatif penyelidikan bersama yang berimpak tinggi.
“Kerjasama yang berterusan ini mencerminkan komitmen UUM dalam memperluas jaringan akademik serantau serta memperkukuh peranan kami sebagai universiti pengurusan yang unggul.
“Fokus utama pada tahun ini adalah pelaksanaan 13 tema penyelidikan bersama yang telah dikenal pasti dan dipersetujui,” katanya.
Sementara itu, Rektor Uhamka, Prof. Gunawan menyatakan bahawa kerjasama ini telah membuahkan banyak hasil positif dalam tempoh 10 tahun pelaksanaannya dan tahun ini, kedua-dua pihak bersedia mengorak langkah lebih jauh khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
“Melalui MoU ini juga, kami berhasrat untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan 13 tema utama sebagai fokus tahun ini.
“Selain itu, program mobiliti pelajar serta pengajian lanjut untuk pensyarah turut diteruskan secara aktif,” katanya.
UUM percaya bahawa kolaborasi strategik seumpama ini bukan sahaja memperkukuh reputasi antarabangsa universiti, tetapi juga memberi manfaat besar kepada warga akademik dan pelajar dalam usaha memperkasa ekosistem pendidikan tinggi serantau. – Kori Ariff