Lawatan IHM tingkatkan kefahaman terhadap Pensijilan Halal Indonesia
LOMBOK, 25 Mei 2025: Institut Pengurusan Halal (IHM), di bawah Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah mengadakan lawatan ke Majelis Ulama Indonesia (MUI) Provinsi Nusa Tenggara Barat (NTB), Lombok, sempena kunjungan balas IHM ke Universitas Islam Negeri (UIN) Mataram.
Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pihak IHM terhadap proses pensijilan halal di Indonesia. Sepanjang seminggu penglibatan akademik dan industri bersama UIN Mataram, pihak IHM telah mengambil peluang untuk mengadakan kunjungan ke MUI NTB bagi mendapatkan penjelasan mendalam mengenai peranan semasa MUI dalam ekosistem pensijilan halal Indonesia.
Menurut Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib, lawatan ini amat signifikan dalam memberikan gambaran yang lebih jelas tentang peranan semasa MUI dan bagaimana pensijilan halal dikendalikan secara rasmi di Indonesia.
“Lawatan ini membolehkan pihak IHM mengetahui dengan lebih jelas proses dan peranan MUI dalam pensijilan halal Indonesia. Meskipun kuasa utama pensijilan halal kini dikendalikan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), namun MUI masih memainkan peranan penting sebagai Lembaga Pemeriksa Halal yang sah dan diiktiraf,” ujarnya.
Untuk makluman, sebelum ini, proses pensijilan halal di Indonesia diuruskan sepenuhnya oleh MUI. Namun kini, tanggungjawab pensijilan diserahkan kepada Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), sebuah agensi di bawah Kementerian Agama Republik Indonesia.
BPJPH kini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan permohonan, penerbitan dan pemantauan sijil halal. Dalam pelaksanaan sistem ini, MUI berfungsi sebagai Lembaga Pemeriksa Halal (LPH) yang menjalankan audit halal, membuat analisis hukum dan mengeluarkan fatwa halal terhadap produk yang diaudit. Proses ini turut melibatkan pemeriksa halal dan makmal yang berdaftar dan diiktiraf oleh kerajaan.
Sepanjang lawatan ke MUI NTB, delegasi IHM diberikan taklimat terperinci mengenai tatacara pensijilan halal, struktur peranan antara BPJPH dan MUI, serta cabaran pelaksanaan pensijilan. Lawatan ini memberi peluang kepada IHM untuk memperoleh pemahaman yang lebih menyeluruh tentang sistem pensijilan halal Indonesia.