Featured News

Tadbir urus yang kukuh pemangkin budaya kecemerlangan

SINTOK, 26 Mei 2025: Kecemerlangan institusi tidak dicapai secara kebetulan ia perlu dipupuk melalui budaya kerja profesional, beretika dan berorientasikan hasil.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia, Tan Sri Datuk Wira Dr. Mohd Shukor Mahfar mengajak kakitangan UUM agar menjadikan elemen  tadbir urus yang baik sebagai pemangkin budaya kecemerlangan.

“Setiap tindakan harus berpaksikan kepada nilai integriti, keputusan harus berasaskan prinsip keadilan dan kebertanggungjawaban.

“Kita tidak boleh berkompromi terhadap nilai ini jika mahu lihat UUM terus maju dan dihormati bukan sahaja di peringkat nasional malah di persada antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2025 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Beliau diiringi Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pendaftar UUM, Ahmad Rasidi Abdullah menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2024 diikuti Anugerah Penjawat Cemerlang, Anugerah Taat Setia, Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran Inovasi dan Kualiti (APIQ).

Beliau menegaskan, kecemerlangan sebuah universiti tidak diukur melalui anugerah atau pencapaian akademik sahaja malah melalui sistem tadbir urus , kekuatan nilai integriti, dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga institusi.

Menurutnya, dalam ekosistem universiti yang kompleks dan dinamik, keberhasilan institusi sangat bergantung kepada amalan tadbir urus yang berkesan dan berintegriti, kepimpinan berwawasan, sistem sokongan yang telus serta pelaksanaan dasar yang strategik.

“Kepatuhan kepada dasar dan keputusan yang telah diperbuat secara kolektif melalui pelbagai jawatankuasa tadbir urus bukan sahaja mencerminkan disiplin institusi malah menzahirkan budaya akauntabiliti yang tinggi.

“Setiap dasar yang diperkenalkan sama ada dalam aspek akademik, kewangan sumber manusia atau pengurusan risiko di setiap organisasi telah menjalani proses konsultansi yang menyeluruh.

“Penting untuk kita fahami bahawa tadbir urus yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada struktur tetapi juga bergantung kepada budaya organisasi yang menjunjung nilai amanah dan tanggungjawa,” katanya.

Tambahnya, majlis yang berlangsung saban tahun bukan sekadar satu acara tapi platform penting bagi mengiktiraf warga universiti dalam pelbagai bidang dalam menggilap sumbangan yang diberikan.

“Kepada penerima anugerah yang diraikan, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian yang membanggakan bukan sekadar penghargaan kepada prestasi malah satu pengiktirafan terhadap nilai integriti, iltizam, profesionalisme yang menjadi asas kepada amalan tadbir urus yang baik.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi dan mencetus motivasi kepada seluruh warga universiti untuk berbakti dengan penuh dedikasi,” ujarnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button