Bela ikan, tanam sayur serentak
SINTOK, 16 Jun 2025: Bayangkan bangun pagi, keluar ke laman rumah tangan petik daun salad segar, mata tengok ikan tilapia berenang-renang gembira. Tak perlu ke pasar, tak perlu risau memakan makanan yang dipenuhi racun perosak. Inilah nikmatnya akuaponik.
Ketua Projek Pembangunan Ekonomi Komuniti Akuaponik (PEKA), Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi berkata, sistem akuaponik merupakan gabungan antara akuakultur (pembiakan ikan atau hidupan dalam air) dan hidroponik (penanaman menggunakan air baja dan tanpa tanah) yang menghasilkan satu ekosistem pintar dan lestari.
“Inilah teknologi pertanian moden yang bukan sahaja kalis cuaca, menjimatkan ruang, malah menjimatkan air dan tenaga.
“Akuaponik ialah kaedah pertanian bersepadu di mana najis ikan digunakan sebagai baja semula jadi untuk membekalkan nutrien penting bagi tanaman. Air dari kolam ikan yang mengandungi nutrien akan disirkulasi terus kepada tanaman dan dialirkan semula ke dalam kolam ikan sebagai air terawat,” ujarnya.
Jelasnya, PEKA merupakan program berimpak tinggi yang diperluaskan kepada komuniti di bawah inisiatif Projek Transformasi Changloon (CTP) untuk meningkatkan sosioekonomi komuniti.
PEKA telah melahirkan ahli komuniti yang mampu berdiri sendiri untuk menghasilkan sumber makanan yang mampan untuk kegunaan sendiri dan juga dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan.
PEKA memperkenalkan sistem pertanian organik moden yang sangat inovatif menggunakan kaedah akuaponik kepada komuniti.
“Teknologi, sistem automasi dan pemantauan secara masa nyata menggunakan Internet Benda (IoT) bagi projek ini dapat memaksimakan penggunaan sumber terhad tetapi mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.
“Dengan gabungan teknologi dan sistem akuaponik, peserta bukan sahaja boleh menternak ikan tetapi turut mengusahakan penanaman sayur-sayuran organik bagi menjana pendapatan,” ujarnya yang menghasilkan produk akuaponik dikenali sebagai “Ezee DIY Aquaponics Automation System” (EDAAS).
Dalam satu masa, kita boleh menikmati hasil tanaman seperti sawi, kangkung, bayam, salad, dan juga ikan seperti tilapia, keli atau ikan hiasan. Mudah, praktikal dan menjimatkan kos dapur.
Sesuai untuk kawasan rumah yang sempit, seperti balkoni atau halaman kecil. Anda boleh hasilkan sayur dan ikan dalam satu ruang yang padat dan teratur.
“Tak kisah duduk kampung atau bandar, ada laman atau cuma ruang kecil akuaponik boleh disesuaikan. Buat mini, medium atau besar, ikut kemampuan dan cita rasa.
“Hanya air, ikan dan tumbuhan. Semuanya semula jadi, bersih dan sihat. Tanaman tumbuh cepat dan lebih subur kerana nutrien terus daripada sumber organik.
Sistem ini menggunakan air yang sama berulang kali yang menjadikan sistem yang menjimatkan dan mengoptimumkan penggunaan tenaga. Tiada penggunaan baja kimia atau racun perosak, menjadikan hasilnya lebih sihat dan organik malah baik untuk bumi kita,” katanya pada Bengkel Inovasi Sosial PEKA 2, yang dihadiri lebih 120 peserta dari pelbagai kaum, baru-baru ini.
Walaupun nampak canggih, sistem akuaponik sebenarnya tidak memerlukan penjagaan yang rumit. Selagi air dijaga bersih dan ikan diberi makan secukupnya, sistem akan berjalan secara automatik.
Peserta, Hamid Mat Hashim berkata, akuaponik bukan sahaja satu hobi yang menyeronokkan, malah satu langkah ke arah kehidupan yang lebih lestari dan sihat.
“Dengan sedikit usaha dan ilmu, anda boleh membela ikan dan menanam sayur sendiri tanpa perlu ke pasar setiap minggu.
“Bayangkan satu sistem kecil, tapi boleh hasilkan dua benda berbeza iaitu ikan dan sayur. Dapat protein, dapat serat, menariknya semua dari rumah sendiri,” ujarnya.
Dengan gabungan teknologi dan sistem akuaponik, peserta bukan sahaja boleh menternak ikan tetapi turut mengusahakan penanaman sayur-sayuran organik bagi menjana pendapatan.