Dialog mahasiswa jadi platform perkasa literasi Dasar Luar Malaysia
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 21 Mei 2026: Pendedahan kepada isu dasar luar dan perkembangan geopolitik global penting dalam membentuk mahasiswa yang berfikiran kritis, berpengetahuan serta peka terhadap kedudukan Malaysia di persada antarabangsa. Sejajar dengan keperluan itu, Program Dialog Mahasiswa: Memperkasa Literasi Dasar Luar Malaysia telah diadakan di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Tinggi itu menghimpunkan mahasiswa bersama panel jemputan daripada pelbagai latar belakang bagi membincangkan isu dasar luar negara serta hubungan antarabangsa.

Sesi dialog dikendalikan oleh moderator, Dr. Md Shukri Shuib yang juga Pengarah Research Institute for Indonesia, Thailand and Singapore (RITS), UUM. Beliau memimpin perbincangan bersama barisan panel jemputan yang terdiri daripada Encik Mohamad Raimi Ab Rahim, Pengarah Bahagian Agama dan Hubungan Strategik, Pejabat Perdana Menteri; Tunku Nashrul Tunku Ablaidah, Setiausaha Akhbar Kanan kepada YAB Perdana Menteri; serta Encik Abdul Razak Sharif, Pegawai Khas Bahagian Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri.
Dalam perkongsiannya, Abdul Razak Sharif berkata perubahan pendekatan dasar luar daripada non-alignment kepada active non-alignment mencerminkan evolusi pendirian negara dalam menghadapi landskap geopolitik semasa.

Pendekatan non-alignment merujuk kepada pendirian tidak berpihak kepada mana-mana blok atau kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat, sekali gus mengekalkan prinsip berkecuali tanpa terikat kepada satu pihak tertentu.
Namun, melalui pendekatan active non-alignment, negara bukan sahaja mengekalkan pendirian tidak berpihak, malah memainkan peranan yang lebih aktif melalui penglibatan dalam hubungan diplomatik, kerjasama ekonomi, dialog antarabangsa serta usaha keamanan global, selaras dengan kepentingan dan keutamaan negara.
Sementara itu, Tunku Nashrul Tunku Ablaidah berkata pelaporan media perlu memastikan maklumat disampaikan secara menyeluruh kepada semua pihak. Menurut beliau, prinsip kepimpinan yang ditonjolkan perlu berpaksikan nilai.

Selain itu, peranan media juga penting dalam memberi penekanan terhadap usaha menarik pelaburan, membuka pasaran baharu, meningkatkan keyakinan pelabur serta mewujudkan peluang pekerjaan dan produktiviti yang memberi manfaat kepada rakyat.
Perkongsian panel memberi ruang kepada mahasiswa memahami dengan lebih dekat peranan dasar luar negara, cabaran semasa hubungan antarabangsa serta pendekatan Malaysia dalam mendepani perubahan landskap global yang semakin dinamik.
Program tersebut bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah membuka ruang interaksi dua hala antara mahasiswa dan panel jemputan, sekali gus memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan literasi dasar luar dalam membentuk pemikiran serta kepimpinan masa depan negara.



