Campus

Ekonomi sempadan sebahagian nadi pertumbuhan ekonomi negara

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 21 Mei 2026: Kawasan sempadan Kedah–Thailand bukan hanya berperanan sebagai pintu masuk tetapi telah berkembang sebagai pusat interaksi penting dari segi perdagangan, pergerakan manusia, pelaburan dan pertukaran budaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Northern Gateway Sdn. Bhd., Razwin Sulairee Hasnan Termizi berkata, antara sektor ekonomi strategik yang berkembang pesat melibatkan ekonomi sempadan termasuklah perkhidmatan logistik yang menjadi nadi kepada rantaian bekalan negara rantau Asia Tenggara (ASEAN).

“Kedudukan strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terletak berhampiran kawasan sempadan Malaysia–Thailand bukan sahaja memberikan kelebihan dari sudut geografi, malah membuka ruang pembelajaran yang lebih praktikal dan relevan kepada pelajar dalam memahami dinamika ekonomi masa hadapan.

“Kedudukan ini membolehkan pelajar menyaksikan sendiri bagaimana aktiviti ekonomi rentas sempadan berlaku secara langsung, termasuk aliran keluar masuk barangan, pergerakan tenaga kerja, serta interaksi perdagangan antara dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu untuk program CEO Talk bertemakan “Borders: The New Geography of Business and Economic Growth” anjuran Brandsphere Research Group dan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) di Kompleks Konvensyen, semalam.

Program tersebut dihadiri lebih 300 pelajar dan warga UUM yang turut berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan tetamu bagi mendalami sektor ekonomi sempadan.

Selain itu, pendedahan kepada persekitaran sempadan ini turut membantu pelajar memahami peranan penting logistik serantau dalam menyokong rantaian bekalan yang semakin kompleks.

Mereka berpeluang melihat bagaimana aspek seperti pengangkutan, pengurusan kastam, penyimpanan dan pengedaran barangan diuruskan bagi memastikan kelancaran perdagangan antarabangsa.

Keadaan ini secara tidak langsung meningkatkan kefahaman pelajar terhadap cabaran sebenar yang dihadapi oleh industri, termasuk isu kecekapan operasi, kos logistik serta pematuhan kepada peraturan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, kedudukan ini juga memberi kelebihan kepada UUM untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pihak industri dan rakan serantau dalam memperkasakan bidang perdagangan dan logistik.

Melalui program akademik, latihan industri dan penyelidikan, pelajar dapat didedahkan dengan pengalaman sebenar yang mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor ekonomi global.

Selain itu, Razwin menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai contoh kawasan sempadan yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara apabila kekal menjadi pintu sempadan darat utama semasa pandemik COVID-19, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi di kawasan tersebut.

Dalam sesi soal jawab, beliau turut menjelaskan bahawa perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI), robotik dan dron bakal menjadi pemacu utama ekonomi masa depan, khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi dan pembangunan kawasan sempadan.

Beliau turut berkongsi pendekatan kepimpinan perniagaan supaya pembuatan keputusan dibuat berasaskan maklumat, kepercayaan kepada pasukan serta fokus terhadap perancangan strategik berbanding pengurusan mikro.

Program ini diharap dapat membuka minda pelajar mengenai potensi pembangunan ekonomi sempadan serta memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri. – Noor Zafiera Ahmad Idris

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button