SULAM Perdana SLCP 2026 satukan pelajar dan komuniti melalui warisan dan budaya
Berita dan gambar Umizaharah Ismail
YAN, 21 Mei 2026: Suasana di Kampung Aceh Management Centre (KAMC), Yan bertukar meriah apabila pelajar dan pensyarah daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) turun padang menjayakan Program SULAM Perdana SLCP 2026 bersama komuniti setempat.
Program yang membawa tema “Menjalin Hubungan Bersama Komuniti: Mengakar Bahasa, Tamadun dan Falsafah” itu menghimpunkan pelajar daripada empat program pengajian di bawah SLCP iaitu Sarjana Muda Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM), Sarjana Muda Linguistik Terapan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) serta Sarjana Muda Sejarah Gunaan (BAH).

Persiapan program turut dimulakan sehari lebih awal apabila pelajar, pensyarah dan penduduk kampung bergotong-royong menyediakan bahan masakan tradisional masyarakat Aceh. Aktiviti rewang melibatkan pelbagai proses seperti membersihkan daging kambing, menyiang ikan, mengupas buah nangka dan betik muda serta menyediakan bahan masakan seperti bawang putih, bawang merah, halia dan rempah-ratus yang digunakan dalam masakan tradisional masyarakat Aceh.
Pada hari program pula, peserta meneruskan proses memasak termasuk membakar ikan dan menyediakan hidangan untuk tetamu yang hadir. Walaupun berdepan kekurangan peralatan dan cuaca hujan pada pagi program, perkara itu tidak mematahkan semangat mahasiswa dan komuniti untuk terus menjayakan aktiviti rewang secara bersama.
Kerja-kerja mengangkat barang, penyediaan bahan masakan dan pengurusan ruang memasak dilakukan secara bergilir-gilir oleh peserta sebagai tanda kerjasama dan semangat kekitaan yang terjalin sepanjang program berlangsung. Suasana di dapur komuniti turut dipenuhi dengan gelak tawa serta perkongsian pengalaman antara pelajar, pensyarah dan penduduk kampung.
Antara hidangan masakan tradisional komuniti Acheh yang berjaya disediakan termasuk gulai kambing, gulai pliek-u, gulai ikan duri, masak asam ikan tongkol dan kuih tradisional yang dipanggil thimpan.
Menariknya, semua hidangan tersebut dimasak sendiri oleh pelajar dan pensyarah SLCP, manakala penduduk kampung bertindak sebagai pembimbing bagi memastikan rasa dan cara penyediaannya terus mengekalkan identiti makanan tradisional Aceh.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, program seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara langsung daripada masyarakat selain mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti.
“SULAM bukan sekadar program akademik. Yang lebih penting ialah bagaimana mahasiswa dapat memahami masyarakat, belajar menghargai budaya dan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa setiap program pengajian di bawah SLCP memainkan peranan tersendiri sepanjang program berlangsung menerusi kepakaran bidang masing-masing.
Pelajar BLIT menerusi projek “Gemala Pesaka: Menelusuri Akar, Mengukir Nama” mengetengahkan usaha mendokumentasikan serta mengangkat warisan sejarah masyarakat Aceh di Kedah melalui pendekatan digital kreatif yang lebih dekat dengan generasi muda.
Pengarah Projek BLIT, Syed Muhammad Zafran Barakbah Syed Khairul Anuar berkata, projek tersebut menggabungkan pemeliharaan warisan dengan pendekatan media digital moden supaya sejarah dan identiti masyarakat Acheh terus relevan serta mudah diakses oleh generasi muda.
Antara tarikan utama projek ini ialah penggunaan kandungan digital kreatif dan penglibatan komuniti seperti Hidden Gem Vlog yang mempromosikan KAMC sebagai destinasi warisan menarik melalui gaya vlog pelajar yang santai dan kreatif.
Selain itu, strategi media sosial seperti transisi TikTok, penggunaan tanda pagar rasmi serta sesi live streaming turut digunakan bagi menarik perhatian generasi muda dan masyarakat luar terhadap warisan masyarakat Aceh di KAMC.
Sementara itu, BCLCIM menerusi galeri “Dari Idea ke Gagasan Ideal” menampilkan pameran infografik berkaitan tokoh dan karya kreatif penulis Kedah di mana setiap kumpulan menghasilkan poster kreatif yang memuatkan latar belakang penulis, gaya penulisan serta mesej dan gagasan yang dibawa dalam karya mereka.

Antara tokoh yang diketengahkan termasuk Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad, Hasan Baseri Budiman, Amelia Hashim dan Osman Ayob yang banyak menyumbang kepada perkembangan kesusasteraan tanah air.
Pengarah Projek BCLCIM, Ahmad Naqib Aslam Ahmad Zainuddin berkata, program tersebut bertujuan memperkenalkan karya dan sumbangan sasterawan Kedah kepada masyarakat setempat selain memupuk minat generasi muda terhadap bidang kesusasteraan.
“Pendekatan santai dan interaktif menjadikan pengunjung lebih mudah memahami nilai budaya, pemikiran dan mesej yang disampaikan dalam karya-karya sastera,” katanya.
Pameran tersebut turut dihiasi dengan elemen kolaj dan dekorasi bertemakan sastera yang menjadikan suasana galeri lebih menarik serta interaktif. Pengunjung bukan sahaja dapat mengenali tokoh sasterawan Kedah dengan lebih dekat, malah turut berpeluang menyertai sesi perkongsian berkaitan puisi, cerpen dan penulisan kreatif yang dikendalikan oleh mahasiswa sendiri.
Dalam pada itu, pelajar BAH melalui galeri “Dari Tanah Rencong ke Tanah Kedah, Warisan Hana Pudar” mengetengahkan sejarah dan identiti masyarakat Acheh di Kedah melalui gabungan elemen tradisional dan pendekatan sejarah digital.
Antara tarikan utama galeri tersebut adalah beberapa naskhah al-Quran tulisan tangan yang dianggarkan berusia lebih 400 tahun, koleksi kamera lama serta pakaian tradisional masyarakat Aceh yang menjadi simbol kewujudan komuniti itu di Kedah sejak sekian lama.
Menurut Pengarah Projek BAH, Shahrul Al Muhaffiz, galeri tersebut dibangunkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat khususnya generasi muda yang kurang mengenali sejarah masyarakat Aceh di Semenanjung Malaysia.

“BAH cuba mengetengahkan pendekatan yang lebih moden tanpa mengabaikan elemen tradisional supaya sejarah masyarakat Aceh dapat terus dipelihara dan dihargai oleh masyarakat hari ini,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, setiap galeri turut menerima kunjungan Dekan SLCP yang meluangkan masa melihat sendiri hasil usaha mahasiswa selain berinteraksi bersama penduduk kampung dan peserta program.
Penganjuran SULAM Perdana SLCP 2026 bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada pelajar, malah mengeratkan lagi hubungan antara warga universiti dan komuniti Kampung Acheh.



