Campus

UUM-MAICSA meterai kerjasama strategik perkasa budaya tadbir urus berintegriti

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 21 Mei 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda memperkasakan tadbir urus korporat negara apabila menjalin kerjasama strategik bersama Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang memberi fokus kepada pembangunan generasi profesional masa depan berteraskan integriti dan kepimpinan beretika.

Majlis menyaksikan Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mewakili UUM, manakala MAICSA diwakili Presidennya, Dato’ Akbar Moidunny menandatangani memorandum tersebut di Balai Tamu, pagi ini.

Dr. Ahmad Martadha berkata, MoU hari ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuhkan hubungan strategik memandangkan MAICSA ialah badan profesional terkemuka di Malaysia yang bertanggungjawab memajukan standard profesional serta memupuk tadbir urus yang baik, amalan kesetiausahaan syarikat dan pematuhan kawal selia.

Menurutnya, UUM memerlukan rakan strategik yang mampu membantu melonjakkan nama universiti dalam bidang pengurusan.

“Menerusi MoU ini juga, saya berharap MAICSA dan UUM dapat mengukuhkan lagi hubungan dengan memanfaatkan kekuatan masing-masing demi membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Pada pandangan kita, mungkin graduan yang dimiliki sudah mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran, sedangkan di mata pihak luar pula merasakan graduan kita masih belum memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Naib Canselor berkata, beliau yakin MoU yang dimeterai itu menjadi permulaan kepada pelbagai bentuk kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan serta menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti akademik dalam memperkasa pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Dato’ Akbar berkata, kerjasama itu dilihat sebagai langkah signifikan dalam meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan profesion tadbir urus dalam membentuk organisasi yang telus, berintegriti dan diyakini masyarakat.

Menurutnya, institusi itu bukan sekadar mahu melahirkan profesional yang cekap dari sudut teknikal, sebaliknya beraspirasi membentuk pemimpin tadbir urus yang memiliki nilai integriti, akauntabiliti, profesionalisme serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

“Institusi yang kukuh lahir daripada tadbir urus yang mantap. Sebab itu kita perlu bergerak bersama untuk memperkukuhkan literasi tadbir urus dalam kalangan generasi muda serta meningkatkan standard profesional masa depan negara,” katanya.

Menurutnya lagi, landskap tadbir urus masa kini semakin kompleks dan menuntut hubungan lebih rapat antara institusi akademik dan badan profesional bagi memastikan pembangunan bakat yang relevan dengan keperluan industri serta cabaran semasa.

Katanya, kerjasama strategik seperti itu membuktikan bahawa banyak perkara boleh dicapai apabila universiti dan badan profesional bergerak seiring dalam memperkukuh standard tadbir urus negara.

“Menerusi kerjasama ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan standard profesionalisme, malah memperkukuhkan keyakinan awam terhadap institusi serta melahirkan organisasi yang lebih dipercayai dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa budaya tadbir urus yang baik perlu dipupuk sejak awal, termasuk dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, bagi membentuk generasi pemimpin yang memahami nilai integriti dan tanggungjawab sosial.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan UUM dan MAICSA atas komitmen serta dedikasi dalam merealisasikan kerjasama berkenaan.

“Biarlah hari ini menjadi titik permulaan kepada hubungan strategik yang berterusan dan bermakna, yang mampu memperkasakan profesional masa depan, meningkatkan keyakinan rakyat serta menyumbang kepada kemajuan negara melalui tadbir urus yang kukuh,” katanya.

MAICSA yang kini dijenamakan semula secara rasmi pada awal tahun ini mempunyai sejarah lebih enam dekad dalam memperjuangkan kecemerlangan tadbir urus, profesionalisme dan kepimpinan beretika di Malaysia.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAICSA, Justin J. Anthony; Ahli Majlis MAICSA, Datuk Mazlan Ahmad; Penasihat Undang-Undang UUM, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) serta pegawai kanan UUM dan MAICSA.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button