SBM UUM adakan lawatan perbincangan strategik bersama MDEC
Berita dan gambar Dr. Siti Zaleha Ahmad Nadzim
CYBERJAYA, 21 Mei 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan lawatan dan sesi perbincangan strategik bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) di Cyberjaya hari ini bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang pendigitalan, pembangunan bakat dan keusahawanan digital.
Delegasi SBM UUM diwakili oleh Dr. Siti Zaleha Ahmad Nadzim, manakala pihak MDEC diwakili oleh Nur Ezali Osman serta Azlinda Mohd Hairon.
Sesi perbincangan tersebut memberi fokus kepada usaha memperkukuhkan hubungan antara institusi akademik dan industri dalam melahirkan graduan yang lebih kompetitif serta memenuhi keperluan ekonomi digital negara.

Dr. Siti Zaleha berkata, antara perkara yang dibincangkan termasuk peluang kolaborasi dalam pembangunan program akademik, latihan industri, pensijilan profesional, penyelidikan, serta pembangunan kompetensi digital dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan pembangunan ekosistem keusahawanan digital, pemerkasaan inovasi dan penggunaan teknologi baharu bagi menyokong agenda transformasi digital negara.
Menurutnya, SBM UUM turut menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan jaringan strategik bersama industri dalam memastikan kurikulum dan pembangunan bakat sentiasa relevan dengan kehendak semasa pasaran pekerjaan dan perkembangan teknologi.
Pihak MDEC pula menyambut baik hasrat kerjasama tersebut dan melihat institusi pengajian tinggi sebagai rakan strategik penting dalam mempercepat pembangunan modal insan digital negara.
Lawatan ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kerjasama berimpak tinggi antara SBM UUM dan MDEC pada masa hadapan, khususnya dalam memperkukuh agenda pendidikan, inovasi dan ekonomi digital Malaysia.



