Sports

UUM Boboyot rangkul tempat keempat, layak ke pusingan akhir e-Sports Asia Tenggara

Gambar Pusat Sukan UUM

SINTOK, 22 Jun 2025: Pasukan e-Sports Universiti Utara Malaysia (UUM), Boboyot mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih tempat pertama dalam kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) peringkat Malaysia, sekali gus melayakkan diri ke pusingan akhir Samsung Galaxy Gaming Academy X MLBB Campus Series 2025 di Jakarta, Indonesia.

Pasukan ini terdiri daripada enam atlet e-Sports UUM yang telah menunjukkan aksi membanggakan di peringkat saringan dalam talian sebelum layak ke pentas akhir.

Mereka terdiri daripada Muhammad Danish Fitri Razali, Fawwas Hannan Ahmad Fauzi, Muhammad Aliff Aqreem Ahmadi, Ahmad Zaim Faezi Fauzi, Aiman Hakimi Ahmad Zarizi dan Putera Arif Haikal Hairunizam.

Pasukan UUM Boboyot telah membawa pulang wang tunai bernilai 3,000 USD dengan kemenangan di tempat ke-4.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UUM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik malah menyerlah dalam bidang digital dan teknologi sukan.

“Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan dan daya saing tinggi pelajar UUM dalam dunia e-Sports yang semakin berkembang.

“Kita bangga kerana mereka mampu mengharumkan nama UUM dan Malaysia di pentas dunia,” katanya.

Kemenangan Boboyot itu telah melayakkan mereka mewakili negara ke pusingan akhir Samsung Galaxy Gaming Academy X MLBB Campus Series 2025 yang baru melabuhkan tirainya di Jakarta Barat, Indonesia bermula 20 hingga hari ini.

Malaysia telah diwakili oleh dua pasukan dalam kejohanan berprestij ini iaitu UUM Boboyot dan UPM Pria Idaman dari Universiti Putra Malaysia di mana kedua-dua pasukan bersaing dengan pasukan elit Asia Tenggara di pentas akhir yang penuh sengit.

Pencapaian UUM Boboyot ini selaras dengan komitmen UUM dalam melahirkan graduan holistik, seimbang dan berdaya saing dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, inovasi dan sukan digital. – Dr. Nasiruddin Haron

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button