KESKA Fun Walk meriah, semarakkan semangat kesatuan dan gaya hidup sihat
SINTOK, 25 Jun 2025: Program KESKA Fun Walk 2025 sejauh 3 kilometer berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan warga kampus. Acara ini menghimpunkan ahli-ahli KESKA, pelajar UUM serta wakil komuniti dan agensi luar, termasuk staf dari Jabatan Imigresen, yang turut sama memeriahkan suasana.
Program dimulakan seawal pagi dengan sesi senaman ringan bagi memanaskan badan sebelum peserta dilepaskan secara rasmi dari kawasan stadium. Para peserta melalui laluan yang telah ditetapkan iaitu dari stadium ke Dewan Mu’adzam Shah, seterusnya ke Dewan Tan Sri Othman sebelum berpatah balik ke lokasi permulaan.
Selepas selesai acara berjalan, program diteruskan dengan sesi cabutan bertuah yang dinanti-nantikan yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan, Universiti Utara Malaysia (UUM). Turut diumumkan dalam program ini ialah pemenang pertandingan MyIdea, Noraidani Ismail dari Jabatan Bendahari.
Beliau mencadangkan agar KESKA dapat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam kampus yang diyakini dapat mengurangkan kos, menceriakan persekitaran serta mengeratkan hubungan staf dan pelajar.
Presiden KESKA, Affendi Askandar dalam ucapan penutupnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang menunjukkan semangat dan sokongan terhadap program ini.
Beliau turut menyeru agar semua ahli terus berganding bahu dalam memperkukuh kesatuan demi kebajikan bersama.
Sementara itu, salah seorang peserta, Mohd Fithri Hamzah dari Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa menyatakan rasa terujanya dapat menyertai program yang berteraskan gaya hidup sihat dan berharap agar KESKA dapat terus memperbanyakkan program yang melibatkan lebih ramai penglibatan ahli. – Hazree Hairudin