Education

ICOCI 2025: UUM Bina Jaringan Penyelidikan Bidang Teknologi Maklumat Dengan Indonesia, Oman

MEDAN, Indonesia, 26 Jun 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh peranannya dalam bidang penkomputeran dan teknologi maklumat serantau apabila berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Ke-10 dalamPengkomputeran dan Informatik (ICOCI 2025) di Hotel Santika Dyandra & Convention, Medan, Indonesia, semalam.

Persidangan anjuran Pusat Pengajian Komputeran (SOC), UUM ini menghimpunkan ratusan cendekiawan, penyelidik dan pemimpin akademik dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Oman, dalam usaha membincangkan masa depan teknologi yang lebih inklusif dan beretika.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa kemajuan teknologi hari ini perlu seiring dengan nilai-nilai kemanusiaan.

“Kita tidak boleh sekadar berbangga dengan kecanggihan sistem pintar dan autonomi. Kita juga perlu meletakkan etika, empati dan kelestarian sebagai teras kepada pembangunan teknologi,” katanya.

ICOCI 2025 turut menjadi platform penting untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan beberapa universiti utama Indonesia seperti Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU) dan Universitas Sangga Buana, dengan tumpuan kepada penyelidikan bersama, program pascasiswazah dan mobiliti staf dan pelajar.

“Kerjasama ini juga memperkukuh hubungan jangka panjang UUM dengan Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG), termasuk program Sarjana berkembar yang sedia ada bersama UIN Ar-Raniry, UIN Raden Fatah, UIN Sunan Ampel dan UIN Sunan Gunung Djati,” katanya.

Selain itu, UUM turut menerima penyertaan aktif dari rakan penganjur lain seperti University of Technology and Applied Sciences (UTAS), Oman dan UIN Sunan Gunung Djati Bandung, yang komited bersama dalam memacu agenda transformasi digital pendidikan tinggi serantau.

Naib Canselor UUM turut berkongsi pencapaian membanggakan apabila bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UUM kini diiktiraf dalam penarafan antarabangsa, mencerminkan komitmen terhadap kecemerlangan dan impak global.

Kejayaan ini turut menyumbang kepada pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam memperkukuh infrastruktur digital dan pendidikan berkualiti.

Dr. Mohd Foad turut mengajak seluruh peserta untuk terus berinovasi dengan empati dan memimpin dengan integriti, demi mencipta masa depan digital yang lebih adil, inklusif dan mampan.

“Teknologi harus membina tamadun, bukan hanya mencipta algoritma. Di sinilah peranan kita bersama,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button