Tech

Program SULAM UUM buktikan Pressmud dan Molasses boleh tingkatkan pendapatan petani

SINTOK, 30 Jun 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), telah berjaya menganjurkan Program SULAM (Service Learning) bertajuk “Daripada Sisa kepada Sumber Bernilai: Memperkasa Komuniti dengan Pressmud & Molasses” di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun, Jitra, Kedah. Program ini dihadiri oleh 25 peserta komuniti dari kawasan Pekan Asun, termasuk suri rumah, petani, dan belia, yang menunjukkan minat mendalam terhadap teknik kitar semula sisa industri gula.

Dalam ucapan perasmian Dr. Maheera Mohamad selaku Penasihat Program menekankan bahawa program ini merupakan manifestasi tanggungjawab sosial universiti dalam melahirkan graduan holistik yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga peka terhadap isu masyarakat. “Inisiatif ini menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti melalui pendekatan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM),” ujarnya. Beliau juga menekankan potensi besar pressmud dan molasses, yang sering dianggap sebagai bahan buangan dari industri pemprosesan gula negara, untuk diubah menjadi bahan campuran tanah organik dan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG ke-11 (Bandar dan Komuniti Mampan), sekaligus menyokong visi Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan pembangunan dan kelestarian. Melalui bengkel amali, peserta didedahkan kepada teknik mudah untuk meningkatkan kesuburan tanah dan hasil pertanian, khususnya dalam penanaman padi yang menjadi sumber pendapatan utama penduduk Pekan Asun.

Dr. Maheera turut mengalu-alukan penglibatan aktif komuniti Pekan Asun, dengan menyatakan bahawa pengetahuan dan pengalaman tempatan mereka merupakan komponen terpenting dalam memastikan keberkesanan program ini. Beliau juga berpesan kepada pelajar Kursus Pengurusan & Kejuruteraan Alam Sekitar (BJTCK2033) agar memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di kuliah, sambil mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab sebagai bakal pemimpin tidak terhenti di peperiksaan semata-mata, tetapi meliputi bagaimana ilmu itu boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Hasil perbincangan dan perkongsian bersama komuniti Kampung Pekan Asun, menyatakan, “Teknik ini memberi sinar baharu kepada petani untuk mengurangkan kos input pertanian sambil menjaga alam sekitar.” Program turut merangkumi pemberian hamper dan sijil penyertaan sebagai penghargaan kepada peserta. Program ini mengukuhkan hubungan antara universiti dengan komuniti luar bandar melalui kerjasama praktikal, sekaligus menyumbang kepada pembangunan mampan.

Program ini berjaya merapatkan hubungan UUM dengan komuniti Pekan Asun, sekaligus memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan ilmu pengurusan sisa secara langsung. Yang lebih membanggakan, 100% peserta petani berminat untuk terus mengaplikasikan teknik pressmud dan molasses ini dalam penanaman padi mereka – bukti ia memberi manfaat jangka panjang. – Dr. Maheera Mohamad

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button