Dato’ Mufti Pahang seru warga IBS Itqan capai kecemerlangan
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
LANGKAWI, 20 Julai 2025: Mufti Negeri Pahang, Prof. Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim yang juga Profesor Pusat Pengajian perniagaan Islam (IBS) menyeru semua warga IBS untuk Itqan dalam Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju IBS.
Beliau berkata demikian dalam bengkel bagi mengisi slot ceramah bertajuk “Muhasabah Diri: IBS Rapatkan Saf Teruskan Perjuangan” seterusnya merasmikan penutupan bengkel ini pada 5 Julai lalu.
Dalam ucapannya, Dato’ Mufti mengingatkan seluruh warga IBS untuk mengenang jasa pejuang-pejuang IBS yang telah gugur terlebih dahulu antaranya termasuklah Allahyarham Dr. Mahyudin Abu Bakar, Prof. Madya Dr. Abu Bakar Hamed, Prof. Dr.Zakaria Abas, Ustaz Liki Hamid, Dr. Ahmad Khilmy Abd Rahim dan Mohd Shamsul Naim Abdul Rais dengan mengirimkan bacaan Al-Fatihah beramai-ramai.
Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga IBS sebagai asas utama untuk terus berjuang dalam dunia akademik dan profesional.
Menurutnya, kekuatan fizikal dan mental adalah modal penting dalam menghadapi cabaran semasa.
“Keseimbangan antara peranan ‘penyerang’ dan ‘pertahanan’ perlu ada dalam strategi kerja berpasukan.
“Pasukan yang kukuh bukan sahaja perlu mempertahankan kedudukan, tetapi juga memiliki ahli pasukan yang berani meneroka dan mengangkat nama IBS ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa pensyarah-pensyarah dan tutor yang dihantar sambung pengajian ke luar negara, seharusnya terus memainkan peranan aktif setelah kembali berkhidmat di UUM dengan membina jaringan kerjasama global dengan universiti atau negara tempat mereka menimba ilmu.
Selain itu, beliau turut mengingtakan tentang kepentingan pengurusan kewangan yang berintegriti.
Menurutnya, penolong pendaftar perlu memainkan peranan sebagai pelindung prosedur (protector of the procedure) untuk memastikan setiap transaksi kewangan mengikut garis panduan yang sah dan teratur.
Sementara itu, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor merasa terharu dengan keberadaan Prof. Dato’ Mufti ke bengkel ini dan ini mencerminkan tanda sokongan beliau yang berterusan kepada IBS dan UUM tidak berbelah bahagi.
Sesi ringkas namun penuh pengisian ini menjadi medan refleksi yang bermakna buat seluruh warga IBS untuk terus mengukuhkan ukhuwah, memperkemas strategi, dan menyusun langkah ke hadapan dengan lebih yakin dan bersepadu. – Dr. Nik Safiah Nik Abdullah