Pengarah IHM berkongsi kefahaman halal di jelajah Halal Maybank Islamic
Berita dan gambar oleh Nurul Syahidah Muhamad Puzi
ALOR SETAR, 15 Julai 2025: Dr. Nor Aina binti Mhd Khotib, Pengarah Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dijemput untuk menyampaikan perkongsian ilmiah dalam halal sempena Program Jelajah Halal 2025 Kedah anjuran Maybank Islamic di Raia Hotel, Alor Setar. Sesi beliau memberi penekanan kepada kepentingan pemahaman konsep halal dan haram sebagai asas utama dalam mematuhi pensijilan halal di Malaysia.
Menurut Dr. Nor Aina, tanpa kefahaman yang jelas tentang apa yang dibenarkan (halal) dan dilarang (haram) menurut syarak, usaha pematuhan serta proses pensijilan halal boleh terjejas. Beliau menegaskan bahawa konsep halal dan haram bukan sekadar istilah, tetapi merupakan prinsip teras yang mesti difahami dan dihayati oleh semua pengusaha sebagai tunjang kepada pematuhan standard pensijilan halal di negara ini.
Program ini bertujuan untuk memperluaskan bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), khususnya dalam kalangan usahawan tempatan. Ia merupakan inisiatif Maybank Islamic yang memberi sokongan kepada pembangunan ekosistem halal melalui bimbingan dan penerangan berkaitan proses pensijilan halal.
Selain IHM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kedah juga turut dijemput untuk memberikan pengisian sepanjang program. Antara topik yang diketengahkan termasuk keperluan pensijilan halal, prosedur pengauditan, pemantauan halal, serta penggunaan sistem FOSIM dalam pendaftaran premis makanan.
Program yang dianjurkan oleh Maybank Islamic dengan kerjasama Universiti Malaya Halal Research Centre (UMHRC) ini mencerminkan komitmen Maybank Islamic dalam menyokong agenda halal negara. Inisiatif ini memperlihatkan sokongan padu agensi kerajaan dan institusi pendidikan dalam mengukuhkan ekosistem halal. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai peneraju industri halal global.