Pelaksanaan OACS UUM 2026–2030 fokus kunjungan UIUUM Ke Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM
Berita dan gambar Mohamad Faizal Azid@Aziz
PUTRAJAYA, 15 Jun 2026: Unit Integriti Universiti Utara Malaysia (UIUUM) telah mengadakan kunjungan hormat dan lawatan mesra ke Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada Jumaat lalu.
Delegasi UIUUM diketuai oleh Dr. Mukhriz Mat Rus, manakala sesi perbincangan telah dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Datuk Mohd Zaki Hassan bersama pegawai-pegawai daripada BPT SPRM.

Dr. Mukhriz berkata, kunjungan tersebut diadakan sebagai platform memperkukuhkan hubungan strategik serta meneroka ruang dan peluang kerjasama antara UIUUM dengan pihak BPT SPRM dalam memperkasakan agenda governans, integriti dan pencegahan rasuah di peringkat universiti.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usaha memperluaskan jaringan kolaborasi antara kedua-dua pihak termasuk perkongsian kepakaran dan sokongan teknikal berkaitan pengukuhan sistem tadbir urus organisasi.
Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Organisasi (OACS) Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026–2030 serta pendekatan Corruption Risk Management (CRM) sebagai antara inisiatif universiti dalam memperkukuh sistem kawalan dalaman dan pengurusan risiko rasuah secara berstruktur.

Dalam sesi tersebut, pihak UIUUM turut menyatakan hasrat menjemput pegawai daripada BPT SPRM hadir ke UUM bagi menyampaikan taklimat ringkas berkaitan pemantauan pelaksanaan Pelan Tindakan Antirasuah UUM sebagai usaha memperkukuh kefahaman dan pelaksanaan inisiatif antirasuah secara berterusan.
Pihak BPT SPRM menyambut baik hasrat tersebut dan menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bentuk kerjasama yang bersesuaian melalui penelitian dan perbincangan lanjut mengikut keperluan semasa.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan UIUUM dalam memperkukuh ekosistem integriti universiti melalui pendekatan kolaboratif bersama agensi strategik ke arah memperkasa tadbir urus dan membudayakan integriti secara menyeluruh.



