Pelajar UUM jayakan Program Zero Bite Campaign perkasa kesedaran pencegahan Chikungunya
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Rajwani Md. Zain
JITRA, 15 Jun 2026: Seramai 31 pelajar kursus SSWPK1033 Volunteerism Management, Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan program Zero Bite Campaign di Taman Mahsuri sebagai usaha meningkatkan kesedaran komuniti terhadap pencegahan penyakit bawaan nyamuk serta memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kubang Pasu itu bertujuan mengurangkan kawasan pembiakan nyamuk Aedes, meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai langkah pencegahan penyakit Chikungunya serta memupuk kerjasama antara pelajar dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang program, antaranya senamrobik komuniti, gotong-royong membersihkan kawasan perumahan, longkang dan lokasi berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk, selain sesi cabutan bertuah bagi menggalakkan penglibatan penduduk setempat.

Pensyarah Kanan SAPSP merangkap Penasihat Program, Prof. Madya Dr. Rajwani Md. Zain berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar bersama komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran kesihatan awam, malah membantu pelajar memahami peranan kesukarelawanan dan kerja sosial dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Denese Yap Hui Xin menyifatkan penglibatan aktif penduduk sebagai faktor penting dalam memastikan keberkesanan usaha pencegahan penyakit bawaan nyamuk.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin antara pelajar, pihak kesihatan dan komuniti berjaya mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat dan kondusif untuk didiami.
Program Zero Bite Campaign turut mencerminkan komitmen UUM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki kesedaran sosial, semangat kesukarelawanan dan keupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti secara berterusan.
Melalui pelaksanaan program berimpak tinggi seperti ini, UUM terus memainkan peranan sebagai institusi pendidikan yang mendukung agenda pembangunan masyarakat dan kesejahteraan komuniti selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.



