General

Dari Sintok ke Putrajaya, UUM kukuhkan jalinan strategik dengan AGC

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Asmar Abdul Rahim

PUTRAJAYA, 27 Ogos 2025: Delegasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama pengurusan Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar di Bilik Kunjungan Hormat Peguam Negara, Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) di sini, baru-baru ini.

Turut hadir dalam pertemuan ini ialah Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, tiga Timbalan Dekan serta pegawai kanan akademik.

Pertemuan ini menekankan agenda memperkukuh hubungan strategik antara UUM dan AGC dalam aspek akademik, penyelidikan, polisi perundangan serta latihan profesional pelajar.

Untuk rekod, SOL UUM merupakan universiti awam pertama yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AGC pada Mei 2024 yang lalu. Rentetan daripada kerjasama bersejarah ini, pelbagai aktiviti dan inisiatif telah dirangka termasuk penempatan pelajar praktikum, perkongsian kepakaran, siri seminar serta program pembangunan profesional dalam bidang undang-undang.

Dr. Mohd Foad berkata, kerjasama erat dengan AGC ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja dapat memperkukuh kualiti pengajian undang-undang di UUM, malah turut memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan sahsiah dan profesionalisme pelajar.

“Sebagai universiti awam pertama yang dimeterai MoU dengan AGC, kami berbangga dapat membuka ruang yang lebih luas untuk pelajar undang-undang menimba pengalaman berharga di institusi penting negara ini.

“Inisiatif ini adalah pelaburan masa depan untuk melahirkan graduan berwibawa dan berintegriti,” katanya.

Dalam perbincangan ini juga pihak Jabatan Peguam Negara menegaskan komitmen untuk terus menyokong inisiatif pendidikan yang digerakkan oleh UUM, khususnya dalam melahirkan graduan undang-undang berdaya saing dan berintegriti.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button