UUM tuan rumah Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan
Gambar Mohamad Ismandi Wasli
SINTOK, 9 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi tuan rumah Pertandingan Kuiz Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung pada 10 hingga 11 September ini di EDC-UUM.
Seramai 12 pasukan kecuali Kelantan dan Sarawak akan bertanding mewakili setiap negeri dari seluruh Malaysia dalam pertandingan yang telah dianjurkan sejak 1980 itu.
Pertandingan ini merupakan anjiuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dikelolakan oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) UUM dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Selain pertandingan, para perserta serta guru-guru pengiring akan dibawa melawat beberapa tempat di UUM seperti Anjung Tamu, Perpustakaan Sultanah Bahiyah dam Muzium Pengurusan UUM pada 10 September.
Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie berkata, pemilihan UUM sebagai tuan rumah pertandingan ini bagi tahun 2025 dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara semua pihak yang terlibat.
Selain itu, menurutnya, usaha ini juga seiring dengan komitmen kerajaan negeri Kedah iaitu Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK 2025) kerana ramai peserta dari luar negeri akan datang bertandang ke Kedah secara amnya dan UUM secara khsusunya.
“Saya berharap agar pertandingan ini juga mampu mempromosikan negeri Kedah dan UUM di peringkat kebangsaan,” katanya pada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pertandingan Sejarah dan Patriotisme Peringkat Kebangsaan 2025 di Bilik Mesyuarat Utama, SLCP, semalam.
Pertandingan yang mengumpulkan peserta-peserta dari seluruh negeri di Malaysia ini diharapkan dapat berjalan dengan lancar serta mencapai objektif utamanya iaitu untuk menyuntik kesedaran tentang kepentingan sejarah dan warisan, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Pertandingan ini sebagai wadah menanam perasaan patriotisme dan melahirkan pelajar yang cemerlang sahsiahnya sehingga dapat menyumbang kepada pembangunan negara. – Dr. Aszlan Selamat dan Dr. Naizatul Akma Mohd Mokhtar