Pasukan Bola Tampar Jabatan Keselamatan UUM johan Sukan Keselamatan Universiti Awam (SUKUA) 2025
Berita dan gambar Ashrafi Sulaiman
TANJUNG MALIM, 14 September 2025: Pasukan bola tampar campuran Jabatan Keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM) muncul juara Kejohanan Bola Tampar Sukan Keselamatan Universiti Awam (SUKUA) 2025 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam.
Kejayaan gemilang itu diraih selepas menewaskan tuan rumah, UPSI, pada perlawanan akhir dengan keputusan 2–0 (25–21, 25–21).
Ketua pasukan, DSP/PB Mohd Hanief Omar Zulkifli berkata; kemenangan ini sekali gus mengukuhkan reputasi UUM sebagai salah satu pasukan terkuat dalam kejohanan edisi kali ini.
Menurutnya, perjalanan UUM ke pentas akhir cukup meyakinkan dengan rekod cemerlang sejak perlawanan peringkat kumpulan.
Dalam masa yang sama, Pengarah Keselamatan UUM, Lt. Kol. Mohamad Ezanee Yazid menzahirkan rasa bangga atas semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pemain serta sokongan padu seluruh kontinjen.
Beliau berharap kejayaan ini menjadi pemangkin motivasi untuk kejohanan akan datang.
Dengan kemenangan ini, pasukan bola tampar Jabatan Keselamatan UUM bukan sahaja mengharumkan nama universiti, tetapi juga membuktikan keupayaan mereka bersaing di peringkat nasional dalam kalangan universiti awam.