Pengusaha mikro terima ilmu perniagaan digital melalui Bengkel 2YEP JKM-UUM
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali
KEPALA BATAS, 22 September 2025: Seramai 50 usahawan mikro yang merupakan penerima manfaat daripada 2 Years EXIT Program (2YEP) telah menyertai Bengkel Siri 3: Program Transformasi Minda dan Keusahawanan Sosial, anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pengarah Projek, Dr. Raja Haslinda Raja Mohd Ali berkata, program yang bertemakan “Dari Lensa ke Laman: Seni Niaga Digital” itu menumpukan kepada pengukuhan ilmu keusahawanan digital dalam kalangan peserta yang merupakan pengusaha mikro dari pelbagai sektor.
Antara pengisian utama bengkel ini termasuk pengenalan kepada Perniagaan Digital, penyediaan Model Kanvas Perniagaan Digital, penyediaan Poster Digital Menggunakan Canva, pemasaran Digital Berkesan dan perkhidmatan Pemasaran Digital.
Sebagai galakan dan pengiktirafan kepada usaha peserta, 10 orang peserta terbaik telah dipilih berdasarkan kriteria penilaian seperti Model Kanvas Perniagaan Digital yang inovatif, penyediaan poster yang menarik serta penghasilan gambar produk yang berkualiti tinggi.
Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif JKM, Liah Pariuk berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan teori, malah menekankan latihan praktikal yang boleh terus diaplikasikan oleh peserta dalam memperkasa jenama dan produk mereka melalui platform digital.
Menurutnya, inisiatif seperti ini dijangka dapat melonjakkan kebolehan peserta 2YEP untuk berdikari dan bersaing dalam pasaran digital, sejajar dengan matlamat program untuk melahirkan usahawan yang mampan dan berdikari.