Raniea ingin jadi kaunselor
Gambar Mohd Fuad Hamid
KUALA TERENGGANU, 19 September 2025: Dengan PNGK 3.88 daripada Matrikulasi, Raniea Natieqa Hasrool memilih bidang Kaunseling di UUM kerana mahu membantu orang lain. Ilham daripada pengalaman hidupnya sendiri.
“Saya pernah mendapatkan khidmat kaunselor sewaktu di sekolah ketika ibu dan bapa saya bercerai. Pengalaman itu mengajar saya bahawa setiap orang berhak mendapatkan bantuan kaunselor untuk menghadapi cabaran hidup.
“Saya mahu memahami, mendengar, dan menjadi penasihat yang baik, terutama buat pelajar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Datang daripada keluarga sederhana, ibunya guru KAFA bergaji RM970, ayah tiri seorang buruh dengan pendapatan sekitar RM1,000. Namun semangat dan doa keluarga jadi kekuatan utama.
Di sebalik cita-cita besar itu, perjalanan Ranie tidak mudah. Ketika menghadiri temuduga jurusan kaunseling di UUM tempoh hari, keluarganya hanya menaiki kereta Perodua Viva milik ayah tiri yang sukar menempuh perjalanan jauh.
“Masa itu kami hanya bertawakal. Fikir nak sampai UUM sahaja. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya apabila berjaya diterima.
“Untuk hari pendaftaran nanti, kami merancang menyewa kereta kerana bimbang Viva tidak mampu menempuh perjalanan jauh,” katanya.
Bagi Ranie, pengorbanan keluarga adalah kekuatan terbesar. Anak kedua daripada lima beradik ini tidak mahu mensia-siakan harapan yang diletakkan ke atasnya.
“Saya ingin membuktikan bahawa walau datang dari keluarga biasa-biasa, kita tetap mampu berjaya jika ada usaha dan doa. Inilah permulaan saya di UUM, dan saya mahu jadikan ia titik tolak untuk masa depan,” katanya penuh tekad.
Semalam, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan bersama-sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, turut menyantuni Ranie Natieqa dengan surat tawaran rasmi, barangan dapur dan surat tawaran program SULUNG.
Dr. Mohd Foad berkata, kisah pelajar seperti Ranie melambangkan keberanian anak muda yang tidak pernah menyerah.
“Mereka bukan sahaja membanggakan keluarga, tetapi menjadi inspirasi masyarakat,” katanya.
Selamat datang ke Sintok, Ranie 23 September ini. UUM adalah rumah kedua yang akan membimbing langkahmu. – Kori Ariff