Tiga anak muda bakal jejak UUM untuk buru cita-cita
Gambar Mohd Fuad Hamid
MELAKA, 21 September 2025: Tiga anak muda dari Melaka iaitu Shahfinas Iskamal Shah, Akhmal Farez Rizwan Osman dan Sharifah Ainur Fareesha Syed Zin masing-masing memasang impian untuk membur cita-cita apabila melangkah masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 23 September ini.
Shahfinas yang menerima tawaran bagi mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa percaya ia memberi peluang luas untuk meneroka dunia korporat dan pasaran global walaupun jalan yang dipilih mungkin berliku, tetapi dia ingin buktikan bahawa dengan usaha dan doa, Shahfinas boleh berjaya.
Memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Shahfinas membuktikan bahawa kesukaran hidup bukan penghalang untuk terus berusaha.
Kehidupan keluarganya penuh cabaran di mana ibunya kini terlantar akibat masalah usus, manakala ayahnya bekerja sendiri setelah kehilangan pekerjaan tetap setelah penutupan kilang berikutan pandemik Covid-19.
Pada Selasa ini, abangnya akan menghantarnya ke Sintok kerana ayah mereka perlu menjaga ibunya yang sakit di rumah.
Akhmal Farez pula tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada atlet UUM, sambil menimba ilmu dalam bidang Pentadbiran Muamalat.
Menurutnya, sejak di bangku sekolah lagi dia sentiasa terlibat dengan acara olahraga dan kini berazam untuk meneruskan minatnya di peringkat universiti.
UUM bukanlah asing bagi Akhmal kerana pada tahun lalu, dia pernah menjejakkan kaki ke Sintok untuk melawat kampus ini dan tidak disangka, kini Akhmal kembali sebagai pelajar baharu UUM.
Bagi anak bongsu daripada 10 beradik ini pula, Sharifah Ainur Fareesha menerima tawaran bagi program Sarjana Muda Pendidikan Teknologi Maklumat.
Fareesha menonjol dengan pencapaian PNGK 3.96 dalam Diploma Information Technology (Digital Technology) di Politeknik Muadzam Shah, Pahang dan pernah bersekolah di SMK Bukit Baru, Melaka dalam aliran Sains Komputer.
Kisah hidunya penuh cabaran apabila arwah bapanya, seorang anggota polis biasa, telah meninggal dunia pada 2020 dan ibunya hanya bergantung kepada duit persaraan arwah ayah.
Lebih menyayat hati, ibunya kini menghidap dementia (pelupa) dan sering tidak menyedari tindakan serta percakapannya.
“Walaupun keadaan keluarga saya penuh dugaan, saya tetap bertekad untuk menuntut ilmu setinggi mungkin. Saya mahu buktikan bahawa anak polis biasa juga mampu berjaya dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
“Saya mahu gabungkan minat saya dalam teknologi dengan hasrat mendidik generasi akan datang. Itulah sebabnya saya memilih bidang Pendidikan IT di UUM,” katanya yang ingin bergelar seorang guru.
Semalam, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, hadir menyantuni ketiga-tiga anak muda ini dengan menyerahkan surat tawaran rasmi, bakul makanan serta bantuan awal pengajian.