Anak orang asli suku Temuan ingin kejar impian bergelar PTD
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 23 September 2025: Pelajar daripada suku Temuan, Algiera Nafiesa Agos, 20, bertekad untuk mendapat Anugerah Dekan setiap semester, seterusnya menamatkan pengajian dengan cemerlang demi mengejar cita-cita untuk menjadi pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, peluang untuk menyambung pendidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan satu nikmat besar baginya dan akan memanfaatkan sebaik mungkin tempoh pengajian, sekali gus mengubah landskap sosioekonomi masyarakat orang asli.

Menurutnya, dia ingin fokus untuk mendapat Anugerah Dekan pada setiap semester, seterusnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan cemerlang.
“Kejayaaan melangkah ke menara gading bukanlah sesuatu yang mustahil bagi masyarakat minoriti sepertinya kerana ia dapat dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh bermula peringkat sekolah rendah hingga menengah.
“Impian saya mahu dapat Anugerah Dekan setiap semester. Itu hadiah terbaik untuk mak ayah dan masyarakat orang asli di kampung, seterusnya membuktikan anak orang asli juga boleh berjaya dalam pendidikan tinggi dan ia bukan lagi angan-angan,” ” katanya yang berasal dari Tangkak, Johor.
Algiera berkata, UUM bukanlah pilihan utamanya, namun kini menggangap ia kampus terbaik kerana di dalam persekitaran alam semulajadi yang sangat serasi dengan jiwanya.
“Pilihan utama saya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kedua UniSZA (Universiti Sultan Zainal Abidin). Tak sangka diterima ke UUM yang menjadi pilihan ketiga.
“Tetapi bila sampai saya terkejut kerana suasana di sini sangat tenang dan dikelilingi kehijauan. Saya rasa tempat ini sesuai dengan jiwa saya dan mudah fokus belajar di sini,” kata anak pekebun kecil itu.
Algiera turut menasihatkan pelajar orang asli agar meneruskan pelajaran kerana banyak sokongan dan bantuan disediakan oleh kerajaan kepada golongan sepertinya terutama dalam bidang pendidikan.
Algiera merupakan salah seorang daripada sembilan pelajar orang asli yang mendaftar di UUM pada hari ini.