Sinergi KKM–UUM perkukuh Agenda Kesejahteraan Mental Nasional melalui Bengkel Art Therapy
Berita dan gambar Dr. Azizah Abdullah
PUTRAJAYA, 8 Oktober 2025: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) dan Hospital Putrajaya telah menganjurkan Bengkel ‘Art Therapy untuk Pengurusan Konflik di Tempat Kerja’ bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2025.
Program ini menghimpunkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, matron, jururawat, pembantu perubatan serta anggota pentadbiran kedua-dua hospital.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Rehabilitasi Cheras, Dr. Tony Henderson Jeyarajah A/L N. Sivarajah, yang mewakili pengarah kedua-dua hospital.
Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya kesejahteraan mental dalam kalangan warga kesihatan serta kepentingan membina budaya kerja berempati.
“Bila tangan melukis, jiwa berbicara. Bila hati tenang, kerja kita lebih bermakna,” katanya sambil menyeru agar terapi seni dimanfaatkan sebagai medium refleksi dan keseimbangan emosi di tempat kerja.
Bengkel ini turut menampilkan penceramah pakar jemputan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Azizah Abdullah, Pensyarah Kanan dalam bidang Terapi Seni Ekspresif dan Kaunseling.
Dr. Azizah berkongsi kepakarannya mengikuti bengkel ketika bercuti sabatikal di Edge Hill University, United Kingdom pada tahun 2024 yang memberi tumpuan kepada intervensi terapi seni di tempat kerja yang semakin diterima secara meluas dalam kaunseling organisasi dan industri di United Kingdom.
“Terapi seni bukan sekadar lukisan, tetapi satu bahasa emosi yang menghubungkan minda dan jiwa. Ia membantu individu memahami konflik dalaman dan mengembalikan keseimbangan kendiri,” katanya.
Beliau mengetengahkan tiga modul utama iaitu Lukisan Emosi Konflik Intra dan Interpersonal, Strategi Daya Tindak Problem-focused dan Emotion-focused serta Vision Board Keseimbangan Hidup yang membantu peserta mengenal pasti punca konflik, mengurus stres secara konstruktif serta menyeimbangkan nilai kerjaya dan keluarga.
Maklum balas peserta menunjukkan kesan positif terhadap peningkatan kesedaran diri dan kemahiran daya tindak. Ramai menyifatkan pendekatan terapi seni sebagai pengalaman penyembuhan yang mendalam serta memberi inspirasi untuk membina Impian masa depan dan membentuk budaya kerja yang tinggi nilai empati.
Kerjasama strategik antara KKM dan UUM ini menjadi bukti keupayaan universiti untuk menyumbang kepakaran akademik kepada sektor kesihatan awam. Sinergi ini juga memperkukuh agenda Kesejahteraan Mental Nasional selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan intelektual, emosi dan spiritual dalam perkhidmatan awam.
Program ini sekaligus menjadi jambatan ilmu antara universiti dan masyarakat, membuktikan bahawa seni mampu menjadi medium penyembuhan dan kesejahteraan di tempat kerja.