General

UUM meriahkan Festival of Idea (FOI) Putrajaya 2025

Gambar Hairul Nizam Zahari

PUTRAJAYA, 5 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi antara pempamer pada  Festival of Idea (FOI) Putrajaya 2025 yang berlangsung dari 4 hingga 8 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

UUM menyertai festival ini melalui tiga pempamer utama iaitu Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) serta Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), di mana masing-masing mempamerkan hasil inovasi mereka kepada umum.

Antara inovasi yang diketengahkan termasuk EZEE DIY Aquaponics Automation System (EDAAS) hasil ciptaan Prof. Madya Dr. Mohamad Farizal Rajemi; Gac Fruit Innovations: From Laboratory To The Community oleh Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail; serta satu lagi inovasi, Program Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) di bawah pimpinan Prof. Dr. Selamah Maamor yang menzahirkan semangat nilai MADANI, khususnya Kesejahteraan Sosial melalui kaedah inovatif tersebut.

Dr. Farizal berkata, penyertaan dalam FOU ini membuka ruang kepada universiti untuk memperkenalkan hasil penyelidikan yang mampu memberi impak langsung kepada masyarakat serta menggalakkan amalan lestari dalam bidang teknologi dan pertanian pintar.

Menurutnya, projek hidroponik yang dihasilkan itu kini mampu membantu golongan sasaran menjana pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM600 sebulan dan beliau berharap usaha itu berterusan serta akan dinaiktarafkan lagi pada masa hadapan.

Sementara itu, Penolong Pengurus Divisyen Pengurusan Agronomi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Muhammad Solehin Mohd Noor, turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha UUM dalam memperkukuhkan hubungan antara institusi akademik dan agensi pelaksana melalui inovasi yang bermanfaat kepada komuniti.

“Kerjasama LZNK dan penyelidik UUM ini telah membantu golongan asnaf yang memerlukan, malah UUM juga mengambil pendekatan dengan membuat penyelidikan tentang impak dan penambahbaikan yang boleh dilakukan lagi,” katanya.

Selain pameran, FOI turut menampilkan Podcast Naib Canselor yang diadakan di Dewan Putra A bersama Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang berkongsi pandangan mengenai peranan universiti dalam memperkasa ekosistem idea dan inovasi negara.

Di samping itu, turut diadakan Majlis Penyampaian Geran Dana Penyelidikan KPT bagi Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) kepada 164 penerima dari sembilan universiti termasuk UUM yang diwakili Ketua Projek FRGS dan PRGS.

Festival ini membuka tirai pada Selasa lalu dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab idea dan inovasi serantau yang memacu kemajuan berteraskan ilmu serta nilai MADANI.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Penganjuran selama lima hari oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini menjadi wadah strategik menghimpunkan cendekiawan, penyelidik, ahli akademik, pelajar dan pemimpin industri untuk membincangkan hala tuju pembangunan ilmu serta inovasi dalam konteks global.

Usaha ini juga sejajar dengan hasrat menjadikan Putrajaya sebagai pusat pertemuan idea dan wacana antarabangsa yang menghubungkan Malaysia dengan dunia melalui jaringan ilmu dan kreativiti.

Pelbagai pavilion dan reruai pameran menghiasi ruang festival dengan mempamerkan hasil penyelidikan, inovasi serta ciptaan kreatif daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta, menjadikan FOI 2025 sebagai platform penting memupuk budaya inovasi dalam kalangan warga akademia dan masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button