CEDI kukuhkan jalinan industri melalui Sesi Inspirasi Keusahawanan Bersama Flour Crown Cafe
Gambar CEDI
SINTOK, 11 November 2025: Institut Pembangunan Keusahawana dan Koperasi (CEDI), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan hubungan strategik antara akademia dan industri melalui penganjuran program Inspirasi Kejayaan Industri: Sesi Perkongsian Bersama Puan Aifaa (Pengusaha Flour Crown Café) yang berlangsung di Bilik Taklimat CEDI, Kompleks Konvesyen, UUM.
Program ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Program Inkubator Perniagaan Kek dan Pastri yang merupakan inisiatif yang dibiayai melalui kelulusan dana keusahawanan tahun 2024 di bawah kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM120,250.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah CEDI, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan, yang dalam ucapannya menekankan kepentingan pendedahan dunia sebenar industri kepada pelajar agar mereka bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga ketahanan mental dan keyakinan diri untuk menempuh cabaran dalam dunia keusahawanan.
Menurutnya, sesi seperti ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami perjalanan sebenar seorang usahawan serta menimba ilmu daripada individu yang telah berjaya menempatkan diri dalam pasaran industri.
Program ini menampilkan Wan Aifaa Shafia Wan Mohd Sopi, usahawan muda dan pemilik Flour Crown Café, yang berkongsi pengalaman beliau membina perniagaan daripada bawah hingga berjaya membuka cafe serta memperkenalkan produk pastri tempatan yang kini mendapat permintaan tinggi.
Dalam perkongsiannya, Wan Aifaa menekankan bahawa kejayaan dalam bidang keusahawanan menuntut kesungguhan, ketabahan dan kesediaan untuk belajar daripada setiap kegagalan yang dialami.

Beliau berkongsi bahawa perjalanan awalnya bukanlah mudah kerana bermula hanya dengan sebuah ketuhar kecil di rumah serta menghadapi pelbagai cabaran dalam menghasilkan produk yang berkualiti. Namun, setiap kesilapan dijadikan sebagai ruang untuk memperbaiki diri dan memperkukuh perniagaan yang diusahakan.
“Kejayaan tidak akan datang kepada mereka yang hanya menunggu masa yang sempurna untuk bermula, sebaliknya keberanian untuk mencuba dan konsistensi dalam memperbaiki kelemahan merupakan kunci utama kejayaan.
“Saya berharap peserta agar tidak mudah berputus asa serta sentiasa berani menonjolkan identiti sendiri dalam perniagaan,” katanya.
Menurutnya, dalam industri makanan, keunikan merupakan satu kekuatan yang boleh membezakan sesebuah jenama daripada pesaing lain.

Beliau menegaskan bahawa kejujuran terhadap kualiti produk dan minat yang mendalam dalam bidang yang diceburi akan membuatkan pelanggan menghargai usaha serta keikhlasan seseorang usahawan.
Program diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif dan penyampaian cenderamata kepada Puan Wan Aifaa oleh Dr. Shazida Jan.
Penganjuran sesi ini diharap dapat menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan peserta dan menjadi inspirasi kepada mereka untuk terus melangkah ke hadapan sebagai usahawan muda yang berdaya saing, berkemahiran dan mampu mengadaptasi cabaran dunia sebenar perniagaan. – Shah Noor Afizah Ahmad



