Graduan Pengurusan Risiko jual chocojar tampung kehidupan di kampus
Gambar Ihsan Siti Hanisah Rizal
SINTOK, 12 November 2025: Bagi menampung kehidupan sepanjang di kampus, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Risiko, Siti Hanisah Rizal, berniaga Chocojar selepas kehilangan ibu bapa akibat kanser pada 2018 dan 2020.
Siti Hanisah, yang merupakan bekas pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Pontian, merupakan anak kepada pasangan Allahyarham Rizal Mulot dan Allahyarhamah Maimon Adam.

Dia juga mempunyai tiga adik-beradik iaitu Nur Najiah Raihana, 21, Muhammad Adam Muqriz, 19, dan Siti Rawdah Hanim, 17, yang kini dijaga saudaranya.
Mengharungi perjalanan di kampus sendirian, Siti Hanisah tetap tabah menghadapi pelbagai cabaran terutama dari segi kewangan pada awal pengajian.
“Saya tidak memohon pinjaman PTPTN atau mana-mana pinjaman dan hanya bergantung pada duit Perkeso arwah ibu bapa. Namun alhamdulillah, perniagaan kecil menjual chocojar yang saya jalankan banyak membantu menampung perbelanjaan ketika itu.
“Saya mula berniaga sejak semester 4 dan ketika itu hanya mi segera atau ramen tetapi perasaan ingin mencuba yang baru membuatkan saya beralih kepada chocojar yang menghasilkan lebih banyak pulangan,” katanya.
Bercakap tentang bidang pengajian diikuti, Siti Hanisah berkata, minat mendalam terhadap bidang pengurusan risiko dan insurans menjadi pendorong utama untuk memilih kursus tersebut.

“Saya memang berminat dengan bidang ini dan alhamdulillah, rezeki saya terpilih untuk melanjutkan pengajian di UUM,” katanya penuh kesyukuran.
Sepanjang bergelar pelajar UUM, beliau turut aktif dalam aktiviti kelab dan kepimpinan. Antara kenangan paling bermakna baginya ialah ketika diberi tanggungjawab sebagai naib presiden kelab akademik kursusnya sendiri serta penglibatan dalam program tanggungjawab korporat sosial (CSR) melawat rumah anak yatim.
Menurutnya, pengalaman itu amat memberi impak kepada dirinya dan komuniti UUM.
Kini, selepas menamatkan pengajian, Siti Hanisah meneruskan langkah ke hadapan dengan menceburi bidang takaful sebagai ejen sepenuh masa di Prudential BSN, Southkey, Johor Bahru.
Kisah Siti Hanisah membuktikan bahawa dengan keazaman, usaha dan kebergantungan kepada rezeki Allah, segala rintangan mampu diatasi menuju kejayaan.
Anak muda ini menerima ijazahnya pada sesi ketiga yang disampaikan Pro-Canselor, Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah di Dewan Mu’adzam Shah.



