Dua beradik cemerlang raih pendapatan lebih RM4,000 selepas bergraduasi
Gambar Ihsan Afrina dan Annisa
SINTOK, 12 November 2025: Kegigihan dan semangat luar biasa dua beradik dari Bayan Lepas, Pulau Pinang akhirnya membuahkan hasil apabila kedua-duanya melangkah naik ke pentas Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung sejak 9 November lalu.
Afrina, 25, dan adiknya, Annisa, 24, membuktikan bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang serta menerima pengiktirafan daripada universiti.

Afrina, graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan dengan Kepujian, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.88 dan turut menerima Anugerah Persatuan Alumni UUM atas kecemerlangan akademik serta sumbangan kepada universiti.
Menurutnya, kejayaannya itu bukan mudah dicapai kerana dia berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk tekanan kewangan dan masalah hubungan sosial semasa di universiti.
“Saya datang daripada keluarga B40 di mana ibu dan bapa saya bekerja sebagai pembantu kantin dan jurujual sahaja, jadi biasiswa amat penting untuk meringankan beban keluarga. Namun, cabaran terbesar ialah apabila saya pernah dipulau oleh rakan sekelas.
“Ia memberi tekanan emosi yang berat, tetapi saya memilih untuk bangkit dan berdikari. Alhamdulillah, usaha itu berbaloi apabila saya muncul sebagai pelajar terbaik dalam kursus saya,” katanya yang menerima ijazah pada petang ini daripada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Afrina yang kini bekerja sebagai Legal Consultant di HSBC Hong Kong dengan gaji lebih RM4,000 bercadang untuk terus mengembangkan kepakaran dalam bidang perundangan korporat dan kewangan.

Sementara itu, adiknya Annisa, graduan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dengan CGPA 3.76, turut tidak ketinggalan mencipta sejarah tersendiri apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Bursa Malaysia.
Annisa yang merupakan penerima Biasiswa Penang Future Foundation berkata, kesusahan keluarga menjadi pendorong utama untuknya menimba ilmu sehingga ke menara gading.
“Saya percaya pendidikan adalah kunci untuk mengubah kehidupan. Dengan pendapatan ibu bapa yang terhad, saya tahu saya perlu berusaha lebih keras.
“Syukur, biasiswa yang diterima banyak membantu meringankan beban keluarga,” katanya yang telah menerima ijazah pada sesi kelima yang disampaikan Naib Canselor, Dr. Mohd Foad.
Antara kenangan paling bermakna buat Annisa ialah ketika dilantik sebagai moderator untuk Asia Pacific Youth Summit, pengalaman yang mengubah keyakinan diri dan membentuk keperibadiannya lebih matang.

Selepas menamatkan pengajian, Annisa akan menyertai Finance Development Program (FDP) di Dell Technologies pada Februari depan, selepas berjaya menewaskan lima calon lain semasa latihan industri, malah dia juga turut ditawarkan gaji melebihi RM4,000.
“Program ini akan memberi peluang untuk saya meneroka pelbagai bidang dalam kewangan dan mengasah kemahiran profesional. Saya amat bersyukur kerana dapat membawa nama UUM dalam dunia korporat,” katanya lagi.
Kisah kejayaan dua beradik ini menjadi inspirasi kepada ramai apabila kedua-duanya bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, malah membuktikan bahawa semangat, ketabahan dan sokongan keluarga mampu membawa seseorang ke puncak kejayaan.



