Campus

Pegawai Imigresen UUM raih Anugerah Kecemerlangan UUM LEADS Sdn. Bhd.

Gambar Ihsan Mohd Aizat Afifi Maliki

SINTOK, 13 November 2025: Di sebalik wajah tenang seorang pegawai imigresen yang melayani pelbagai ragam pelanggan di kaunter permohonan dokumen perjalanan, tersimpan kisah luar biasa tentang ketabahan dan pengorbanan seorang anak watan Perlis yang menjadikan ilmu sebagai amanah dan khidmat sebagai perjuangan.

Mohd Aizat Afifi Maliki, 37, kini berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis, menamatkan pengajian kelas pertama dalam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pencapaian akademik cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.85 melalui Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), walaupun berkhidmat sepenuh masa sebagai penjawat awam.

Perjalanan akademiknya bukan sekadar tentang menuntut ilmu, tetapi tentang bagaimana ilmu dan tanggungjawab boleh bergerak seiring. Bermula pada tahun 2020 di Unit Pentadbiran Kompleks ICQS Padang Besar, Aizat mengasah kecekapan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan sumber manusia di pintu sempadan negara.

Kemudian, dia ditempatkan di Unit Kawalan Kompleks ICQS Padang Besar (2022–2023), di sinilah dia mempelajari erti disiplin dan ketahanan diri sebagai anggota barisan hadapan.

Pada tahun berikutnya, pelantikan di Bahagian Perancangan Strategik dan Khidmat Korporat JIM Perlis (2023–2024) membuka ruang baharu untuknya meneroka dunia komunikasi strategik, hubungan awam dan promosi imej korporat jabatan, suatu peranan yang menghubungkan teori pengurusan awam dengan realiti lapangan.

Penempatan di UTC Perlis bermula 21 Julai 2024 menandakan lembaran baharu dalam kerjayanya, apabila Aizat menjadi wajah hadapan jabatan dengan menyantuni rakyat dengan khidmat yang pantas, berhemah dan berintegriti.

“Alhamdulillah, syukur atas rahmat Allah SWT yang memberikan rezeki ini kepada saya,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Penerimaan Anugerah Kecemerlangan UUM LEADS Sdn. Bhd. pada tahun 2025 melengkapkan anugerah berganda yang diterimanya selepas meraih Anugerah Pengiktirafan Kualiti Perkhidmatan Kaunter pada September 2025, disampaikan sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Zakaria Shaaban atas dedikasi beliau dalam memberikan perkhidmatan kaunter terbaik di UTC Perlis.

Mohd Aizat menerima Anugerah Kecemerlangan UUM Leads Sdn. Bhd. yang disampaikan Canselor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Salahuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah di Dewan Mu’adzam Shah pada sesi pertama Ahad lalu.

Kedua-dua anugerah ini menjadi pemangkin kekuatan untuk terus berusaha memburu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025, setelah hanya tersenarai sebagai calon pada tahun sebelumnya.

“Ilmu dan anugerah yang diterima bukan untuk sanjungan, tetapi sebagai alat untuk menabur bakti kepada rakyat. Kerana ilmu tanpa khidmat tiada maknanya, dan khidmat tanpa budi tiada nilainya,” katanya yang mula belajar di UUM pada April 2020.

Kini, sebagai penerima Anugerah UUM Leads Sdn. Bhd., Mohd Aizat Afifi menjadi simbol graduan UUM yang sejati dan penjawat awam yang berdedikasi iaitu berilmu, berbudi, dan berbakti.

Merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, pegawai imigresen ini berhasrat untuk melanjutkan pengajian melalui ‘fast track’ Doktor Falsafah (PhD) dengan harapan dapat menjadi contoh kepada rakan sekerja dan anak-anaknya.

Kisahnya menggambarkan semangat Malaysia Madani iaitu menjulang ilmu, memperkasa rakyat, dan berkhidmat dengan hati.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button