General

Nor Azreena kejar ilmu selama 17 semester untuk genggam segulung ijazah

Gambar Ihsan Nor Azreena Mohd Azhari Lutfi

SINTOK, 13 November 2025: Setiap kejayaan ada harga yang perlu dibayar, begitu juga bagi Nor Azreena Mohd Azhari Lutfi, 33, dari Johor Bahru, untuk menggenggam segulung ijazah bukan sekadar tentang pelajaran, tetapi tentang ketabahan, air mata dan pengorbanan yang tidak terhitung nilainya.

Anak kepada Azura Khamis dan Mohd Azhari Lutfi Abdullah ini bukanlah asing dalam dunia teknikal dan berbekalkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (CAD/CAM) dari Institut Teknikal Jepun-Malaysia di Pulau Pinang, dia pernah menabur bakti sebagai juruteknik selama tujuh tahun sebelum tekad mengambil langkah besar iaitu menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam di Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di bawah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE).

“Saya pilih UUM sebab programnya sesuai dengan jadual kerja saya yang tidak menentu. Kelas cuma sebulan sekali, tetapi tempohnya panjang selama lebih lima tahun. Saya fikir boleh urus, tetapi rupanya dugaan datang bertimpa-timpa.

“Bekerja dalam sistem syif bukan perkara mudah. Ada waktunya, dia pulang dari syif malam yang berakhir jam 8 pagi dan terus ke kelas yang bermula jam 8 pagi juga tanpa sempat memejamkan mata,” kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga enam tahun itu.

Menurutnya, pernah juga dia tertidur dalam kelas sebab terlalu penat dan pada masa sama bersyukur kerana dibenarkan membawa bayi sulung berusia 4 bulan ketika itu ke kelas.

“Tapi masa itu saya fikir, tak apa… asalkan jangan berhenti. Namun, cabaran bukan sekadar masa dan tenaga. Dari segi kewangan juga beliau diuji.

“Yuran pengajian yang awalnya dibayar menggunakan simpanan KWSP Akaun 2 akhirnya memaksa saya memohon PTPTN apabila kewangan semakin sempit. Tahun ketiga pengajian pula bertambah mencabar apabila sata merancang untuk berkahwin dengan suami, Yuskamarakmal Misro, sambil menghadapi krisis di tempat kerja,” katanya.

Belum reda ujian itu, datang pula dugaan paling besar apabila pada 2021 menjadi titik hitam apabila suaminya disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Masa itu saya sudah tidak bekerja, dengan anak kecil, yuran universiti tertunggak dua semester… saya betul-betul rasa dunia gelap. Pada masa sama, saya takut kehilangan dia,” kata Nor Azreena.

Akibat tekanan dan kekangan masa, dia terlepas menduduki peperiksaan MUET dan menangguh pengajian.

Tahun berikutnya, walaupun berjaya menduduki semula MUET pada 2022, ujian kesihatan pula menimpa. Ketika berpantang selepas kelahiran anak ketiga, luka pembedahan terbuka dan dijangkiti kuman beberapa kali.

“Saya hanya mampu tengok kawan-kawan konvo pada November 2022. Masa tu saya rasa sangat kecewa… tapi saya cuba redha. Saya pilih untuk fokus pada anak-anak dulu,” katanya.

Walau masa berlalu, harapan tidak pernah padam. Pada 2024, suami tercinta membantu melunaskan segala tunggakan yuran pengajian. Namun, ketika menyemak keputusan, satu lagi halangan muncul apabila dia mendapati terdapat satu subjek yang gagal.

“Rasa macam runtuh semangat sekejap, tetapi saya teruskan juga. Akhirnya bila dapat tahu saya layak konvokesyen tahun ni, saya menangis lama. Tak sangka perjalanan saya ambil masa 17 semester,” katanya sebak.

Antara kenangan paling manis dalam perjalanan panjang itu ialah apabila dia berjaya meraih Anugerah Dekan pada semester dua dan tiga, satu pencapaian yang menjadi bukti bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil.

Kini, selepas menamatkan pengajian dengan purata gred kumulatif (CGPA) 3.01, Nor Azreena mahu membina semula kerjayanya yang terhenti sejak 2021.

“Selama lima tahun saya berniaga kecil-kecilan dari rumah dan buat kerja sebagai pencipta kandungan bebas.

“Tetapi selepas ini, saya harap dapat kerjaya yang lebih stabil. Bila dah kukuh, saya memang nak sambung sarjana pula,” katanya.

Kisah Nor Azreena bukan sekadar cerita tentang menamatkan pengajian tetapi ia kisah tentang kekuatan seorang wanita, seorang isteri, seorang ibu, dan seorang pejuang yang tidak pernah menyerah walaupun dunia seolah menutup semua jalan.

“17 semester bukan lambang kelewatan, tapi bukti ketabahan”.

Nor Azreena menerima ijazahnya pada sesi terakhir yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button