Education

Projek Geng Viral Kampung: Pempengaruh Digital Wanita sebagai pemacu pembangunan komuniti desa di Bukit Kayu Hitam

Berita dan gambar Dr. Noor Hanis Zainol Abidin

SINTOK, 25 November 2025: Satu inisiatif inovasi sosial telah dilaksanakan melalui Bengkel Latihan dan Pembangunan Kapasiti Pempengaruh di bawah Projek “Geng Viral Kampung: Pempengaruh Digital Wanita sebagai Pemacu Pembangunan Komuniti Desa di Bukit Kayu Hitam, Kedah”.

Projek ini bertujuan memperkasa komuniti luar bandar melalui peningkatan keupayaan digital, selaras dengan keperluan ekonomi masa kini yang semakin bergantung kepada pemasaran dalam talian dan kandungan media sosial.

Projek yang diketuai oleh Dr. Rosfaraliza Azura Ramli memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan keyakinan wanita desa untuk tampil sebagai pempengaruh komuniti. Peserta bengkel dilatih menghasilkan kandungan digital kreatif, mempromosi serta membantu memasarkan produk komuniti melalui platform seperti Whatsapp business, Facebook dan Instagram, seterusnya memperluaskan capaian pasaran produk tempatan.

Inisiatif ini turut melibatkan Usahawan Wanita Bukit Kayu Hitam (ROSE) sebagai rakan strategik bagi mengukuhkan kerjasama dan sokongan komuniti setempat. Penglibatan ROSE membantu menyelaras aktiviti komuniti, mengenal pasti minat yang sama antara peserta, serta menggerakkan usaha bersama untuk menaikkan ekonomi komuniti melalui pemasaran produk tempatan.

Dr. Rosfaraliza berkata, projek ini seiring dengan aspirasi Model Pembangunan Komuniti (MPK) yang menekankan penglibatan aktif masyarakat dalam pembangunan.

Menurutnya, pendekatan ini juga selari dengan objektif Geran Inovasi Sosial (SIGS) yang memfokuskan kepada pengaktifan aset komuniti dan peningkatan kesejahteraan sosioekonomi melalui pendekatan inovatif.

“Melalui bengkel ini, peserta diperkenalkan kepada asas komunikasi digital, penjenamaan diri, strategi pemasaran media sosial, penerokaan potensi diri serta penyediaan pelan pemasaran digital yang bersesuaian dengan keupayaan dan sasaran pasaran.

“Pendekatan ini bukan sahaja membina kemahiran baharu dalam kalangan wanita desa, tetapi juga menggalakkan pembentukan jaringan sokongan komuniti yang lebih kukuh untuk memacu keusahawanan setempat,” katanya.

Projek “Geng Viral Kampung” dijangka menyumbang kepada pemodenan ekonomi desa, memperluaskan peluang keusahawanan, serta meningkatkan keterlihatan produk warisan Kedah.

Dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk ROSE, projek ini mempunyai potensi untuk diperluaskan ke kawasan luar bandar lain sebagai satu strategi memperkasa komuniti dalam era ekonomi digital.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button