Pelajar UUM diperkasa sebagai ejen perubahan ASEAN melalui Bengkel SDG
Gambar Nur Suffiya Batrisya Alizan, Satiswary Sinnapan dan Suhana Norsah
SUNGAI PETANI, 25 November 2025: Seramai 43 pelajar terdiri daripada 32 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 11 pelajar Sekolah Persendirian Northern Lights (NLPS), telah menyertai ASEAN Youth Changemaker Workshop 2025 yang dianjurkan oleh MySEANLEAD (Malaysian ASEAN SDG Leadership) di bawah inisiatif Malaysian Youth SDG Agent (MYSDGA) di Northern Lights Private School (NLPS), Sungai Petani.

Pengarah Program AYCW 2025, Wee Khai Nern berkata, bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar Malaysia dan Indonesia tentang Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) serta peranan penting golongan belia dalam menggunakan prinsip SDG sebagai alat untuk menangani dan menyelesaikan isu dalam komuniti tempatan.
Penganjuran ini turut mendapat kerjasama daripada tujuh rakan strategik, iaitu Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), MySDG Academy, Persatuan Gelombang Muda Malaysia (PGMM), Sekolah Persendirian Northern Lights (NLPS), Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda, UCSI University, dan Komuniti Belia Selangor (SAY) yang dahulunya dikenali sebagai Shah Alam Youth serta Kairos Agriculture sebagai rakan teknikal.
Sepanjang bengkel tersebut, peserta terlibat dalam pelbagai sesi interaktif bersama penceramah dan fasilitator industri, selain turut mengikuti lawatan lapangan ke Kairos Agriculture, di mana peserta berpeluang melihat secara langsung amalan pertanian lestari dan teknologi hijau yang diterapkan dalam sistem pertanian moden.
Program ini memberi tumpuan kepada tiga Matlamat Pembangunan Lestari utama, iaitu SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab), serta SDG 17 (Bekerjasama Mencapai Matlamat), dengan menekankan kepentingan kolaborasi, inovasi dan kepimpinan dalam mencapai kemajuan mampan.
Khai Nern berkata, setiap langkah dalam menganjurkan bengkel ini datang dengan cabaran tersendiri, namun keazaman dan semangat pasukan menjadikan segalanya dapat direalisasikan.
“Kami percaya ketahanan (resilience) bukan sekadar tentang kemampuan untuk bertahan, tetapi tentang keberanian untuk bangkit, beradaptasi dan terus mencipta impak positif walaupun dalam keadaan yang sukar.
“Melalui bengkel ini, kami mahu belia memahami bahawa SDG bukan sekadar slogan antarabangsa, ia adalah panduan untuk membina masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

“Saya amat bangga melihat bagaimana peserta dari UUM dan NLPS bekerjasama merentas budaya dan latar belakang, membuktikan bahawa kuasa perubahan sebenar lahir daripada kolaborasi dan empati,” katanya.
Bas Out-Bound UUM telah ditaja oleh MySDG Academy, manakala sokongan logistik dan lain-lain keperluan program disediakan oleh Komuniti Belia Selangor (SAY).

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) atas sokongan dan kebenaran yang diberikan bagi membolehkan pelajar UUM menyertai program ini.
Program ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran belia terhadap pembangunan lestari, malah mengukuhkan komitmen UUM dalam melahirkan pemimpin muda ASEAN yang berdaya tahan, berpengetahuan dan mampu membawa perubahan positif dalam komuniti serantau. – Nur Hayati Md Sharif



