General

Perkembangan terkini warga UUM di Hatyai

Gambar Ihsan Pelajar dan Pensyarah TISSA

SINTOK, 26 November 2025: Seramai 36 pelajar dan empat pensyarah pengiring dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), yang terkandas berikutan banjir di Hatyai, Thailand masih dalam keadaan baik dan sihat.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UUM Yang Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, semangat mereka terus tinggi menunggu operasi membawa mereka pulang ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pihak universiti juga mengesan terdapat seorang pelajar menghidap Talasemia yang turut menyertai program di Hatyai juga berada dalam kumpulan sama.

Pengarah Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UUM, Dr Adi Azhar Abdul Razak berkata, pembawa Talasemia tersebut tidak serius dan ibu bapa pelajar berkenaan juga sudah dimaklumkan perkara berkenaan bagi mengelak kerisauan.

Untuk makluman, keadaan air di sekitar penginapan pelajar dan pensyarah di Hotel Wangburapa Grand semakin meningkat dan arus air sangat deras tidak mengizinkan laluan kenderaan darat, selain makanan dan keperluan asas sudah semakin berkurangan.

Mereka sangat berharap agar pihak Konsulat Malaysia di Hatyai dapat menghantar bekalan makanan, minuman dan lain-lain keperluan asas dengan segera.

“Pihak UUM terus berhubung dengan Pejabat Konsulat, badan bukan Kerajaan (NGO) dan beberapa pemimpin Islam termasuk menggerakkan alumni UUM di sana untuk membantu menghantar makanan, minuman dan ubat-ubatan.

“Bagaimanapun, arus deras di sekitar Hotel Wangburapa Grand yang berdekatan dengan sungai, menyebabkan sebahagian bot kecil terbalik, malah beberapa usaha menyelamat telah dilakukan dua hari lalu namun tidak berjaya kerana arus deras,” katanya.

Pihak UUM juga amat berterima kasih kepada masyarakat sekitar yang prihatin yang telah menyediakan makanan bubur nasi untuk pelajar-pelajar dan staf UUM di sana.

Difahamkan kerajaan juga telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membantu membawa keluar pelajar-pelajar dan pensyarah UUM secepat mungkin.

UUM juga telah menyediakan kenderaan untuk mengambil pelajar dan pensyarah berkenaan di laluan yang boleh dimasuki kenderaan.

“Saya mengajak semua pihak untuk sama-sama kita mendoakan kesihatan dan kebajikan pelajar-pelajar dan pensyarah kita dan agar mereka dapat dibawa pulang ke UUM dengan segera,” katanya. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button