Education

UUM raih tempat ketiga Pertandingan SULAM INNOVATE 2025 Kategori Sains Sosial

Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Juliana Aida Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 27 November 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melakar kejayaan dalam pemerkasaan komuniti melalui Service Learning for Malaysia (SULAM) apabila berjaya merangkul Tempat Ketiga dalam Pertandingan SULAM Ideation, Invention and Innovation Challenge (SULAM INNOVATE) 2025 bagi kategori Sains Sosial.

Pengiktirafan tersebut diumumkan semasa Majlis Penutup 3rd International Conference on SULAM & SULAM INNOVATE 2025 yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini.

Pasukan dari UUM yang diketuai oleh Muhammad Fadhil Zulkifli dari Pusat Pengajian Perniagaan telah berjaya menambat hati juri.

Muhammad Fadhil berkata, projek SULAM yang bertajuk PineConnect: Pengurusan Agropine Menggunakan Aplikasi, projek di bawah bimbingan Dr. Norzalila Jamaludin ini merupakan salah satu daripada 20 finalis yang melalui proses pitching di hadapan panel akademik dan industri.

“Kemenangan ini membolehkan saya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, plak, dan sijil penghargaan,” katanya.

Kejayaan ini membuktikan komitmen UUM melalui Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik (CAEP) dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah prihatin dalam menyelesaikan isu masyarakat melalui pendekatan SULAM.

Semasa program berlangsung, UUM turut mempamerkan dua lagi projek iaitu (i) Daripada Sisa Kepada Sumber Bernilai: Memperkasa Komuniti Dengan Pressmud & Molases oleh Dr. Maheera Mohamad dan (ii) Transformasi Komuniti Tani menerusi AgroSULAM: Kisah Nanas MD2 Kubang Pasu oleh Dr. Siti Noorjannah Abd Halim.

Pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ini bertujuan untuk mengangkat hasil penyelidikan dan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), KPT, Dato’ Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button