Sports

UiTM johan kategori Gross Varsity Golf Tournament 2025

Gambar Mohd Fuad Hamid dan Shamsaimi Ezil

SINTOK, 3 Disember 2025: Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara keseluruhan bagi kategori Gross dalam Varsity Golf Tournament 2025 selepas pemainnya, Nor Haqiem Nor Hadi dan Alya Afza Hazari, menamatkan pertandingan selama tiga hari dengan prestasi cemerlang sehingga mengungguli kedudukan teratas kategori lelaki dan wanita.

Kejayaan ini sekali gus mengangkat UiTM sebagai pencabar utama dalam kejohanan golf peringkat varsiti pada tahun ini.

Kejohanan yang berlangsung dari 30 November hingga 2 Disember itu memperlihatkan persaingan sengit antara atlet dari pelbagai universiti, termasuk Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan beberapa institusi lain.

Varsity Golf Tournament 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Akademi Golf Nasional UUM terus mengukuhkan reputasinya sebagai platform penting dalam mencungkil bakat sukan golf di peringkat universiti.

Dalam kategori Gross Lelaki, Nor Haqiem (UiTM) dinobatkan sebagai juara dengan 221 pukulan (74, 75, 72).

Tempat kedua diraih pemain UUM, Muhammad Farez dengan jumlah 223 pukulan, diikuti rakan sepasukannya, Hazeem Yusoff, di tempat ketiga dengan 226 pukulan.

Tempat keempat dan kelima turut dikuasai pemain UUM iaitu Muhammad Danish Mohamad Rizal dan Irlman Izzad Mustapa Kamal.

Kategori Gross Wanita juga berpihak kepada UiTM apabila Alya Afza mengungguli kedudukan pertama dengan 231 pukulan (76, 78, 77).

Tempat kedua dimenangi Nur Ameera Najwa dari UUM (245 pukulan), manakala Putri Haryaty Najwa dari UniMAP berada di tempat ketiga dengan 248 pukulan. Nurul Fazlyana Mohd Azihan serta Nurul Adawiyah Abdul Jalil dari UUM melengkapkan kedudukan lima terbaik.

Pemenang kategori Gross menerima hadiah untuk johan berupa RM1,500, naib johan RM1,000, tempat ketiga RM700, tempat keempat RM500 dan tempat kelima RM300.

Bagi kategori Nett, Muhammad Norman Haikal dari UniSZA dinobatkan sebagai juara Nett Lelaki dengan 190 pukulan nett, manakala Sofea Zahra Ashzuin dari UUM muncul juara Nett Wanita dengan 225 pukulan nett di mana ketiga-tiga mereka masing-maing menerima hadiah RM1,000, RM700 dan RM400.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Hari terakhir kejohanan turut mencatat detik bersejarah buat UUM apabila pemainnya, Muhammad Farez Azihan, berjaya melakukan hole-in-one di lubang 16. Pencapaian itu menjadi momen istimewa yang menambah seri kejohanan tahun ini.

Varsity Golf Tournament 2025 terus membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi serta mengukuhkan hubungan antara universiti melalui persaingan sihat dan profesional.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button