General

Tiga prinsip utama beri kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan awam

Gambar Hairul Nizam Zahari

ALOR SETAR, 16 Disember 2025: Penjawat awam perlu menerapkan tiga prinsip utama serta menguasai tujuh bidang tujahan negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berintegriti dan selari dengan hala tuju pembangunan nasional.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang juga Profesor Adjung Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) berkata, tiga prinsip tersebut ialah fasilitate (memudahkan), accommodate (menyesuaikan) dan accelerate (kepantasan) dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan.

Menurutnya, nilai-nilai tersebut cuba diterapkan dalam perkhidmatan awam agar memberi kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat.

“Ia bukanlah sesuatu yang baharu atau luar biasa, sebaliknya kita hanya memperkukuhkan pendekatan sedia ada supaya wujud nilai empati terhadap rakyat dengan meletakkan diri kita sebagai pelanggan dan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya pada Sesi Perbincangan Profesor Adjung Bersama Staf Pusat Pengajian Kerajaan (SoG) di Hotel Raia, semalam.

Selain itu, Wan Ahmad Dahlan turut mengingatkan agar penjawat awam menguasai tujuh bidang tujahan negara seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas bahawa negara perlu bersedia dengan tujuh bidang baharu bagi membolehkan Malaysia bersaing dengan negara lain di peringkat Asia mahupun global.

“Tujuh bidang tersebut ialah kecerdasan buatan (AI), transformasi digital, persempadanan negara, peralihan tenaga, keterjaminan makanan, pengurusan bencana dan keselamatan siber.

“Terdapat beberapa universiti yang telah mengambil langkah awal dengan menyediakan kursus-kursus berkaitan bagi mempersiapkan pelajar menghadapi masa hadapan. Sekiranya bidang-bidang ini tidak dikuasai, negara kita berisiko ketinggalan berbanding negara-negara ASEAN. Malah, Perdana Menteri telah menekankan kepentingan tujuh bidang ini untuk dilengkapkan dalam kalangan penjawat awam dan juga rakyat yang bakal memasuki institusi pengajian tinggi serta pasaran pekerjaan,” katanya.

Beliau turut berharap agar dapat diwujudkan kolaborasi yang lebih erat antara pensyarah dan pihak kerajaan dengan memberi peluang kepada pensyarah untuk menjalani penempatan sementara (attachment) di jabatan atau kementerian, khususnya dalam bahagian dasar, selama tempoh tiga bulan. Melalui pendekatan ini, pensyarah dapat memahami dengan lebih mendalam proses penggubalan sesuatu polisi.

Wan Ahmad Dahlan juga menyatakan hasratnya untuk membantu Universiti Utara Malaysia (UUM) meningkatkan keupayaan, khususnya SoG agar menjadi pusat pengajian terbaik di Malaysia, Asia, malah di peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kerana sudi mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama staf SoG dan UUM.

Beliau turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai UUM yang merangkumi aspek visi, misi dan objektif universiti, serta sejarah penubuhannya sejak tahun 1984 hingga kini.

Pada sesi sama, Dekan SoG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid turut menyampaikan taklimat ringkas berkaitan visi, misi dan sejarah SoG, selain memperincikan pusat-pusat pengajian, kekuatan staf serta latar belakang pelajar.

Beliau berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat membantu atau mengemukakan idea bagi meningkatkan jumlah pelajar, khususnya di peringkat pascasiswazah.

Pada pagi ini, Syarahan Pengurusan Negara akan diadakan dan disampaikan oleh Profesor Adjung SoG bertempat di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button