Prof. Dr. Ahmad Martadha dilantik sebagai Naib Canselor UUM baharu
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 17 Disember 2025: Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu selama dua tahun, berkuat kuasa semalam.
Beliau menerima surat pelantikan yang ditandatangani oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Dr. Ahmad Martadha memulakan tugas hari ini sejurus mengimbas kad perakam waktu pada jam 8.39 pagi di Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.
Beliau merupakan tokoh akademik terkemuka dalam bidang Pentadbiran Awam dan Dasar Awam, dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM selama hampir empat tahun.
Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Southern Illinois University–Carbondale, Amerika Syarikat, diikuti Sarjana Pentadbiran Awam dari Indiana State University, serta Ijazah Doktor Falsafah (Pentadbiran Awam/Sains Politik) dari Southern Illinois University, Carbondale.
Bidang penyelidikan beliau tertumpu kepada Reformasi Pentadbiran, Analisis Dasar dan Tadbir Urus, di mana sumbangan ilmiahnya telah mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Selain aktif dalam penyelidikan, Dr. Ahmad Martadha turut dikenali sebagai pemimpin akademik di peringkat global melalui penglibatan beliau dalam pelbagai persatuan antarabangsa, antaranya sebagai Ahli Pengasas dan Ahli Eksekutif Asia Pacific Society of Public Affairs, Pengerusi ASEAN University Network Student Affairs Network, serta Presiden IMT-GT Varsity Council.

Di peringkat nasional, beliau menyumbang kepakaran sebagai Pengerusi Pengajian Am STPM dan Pengerusi Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti Awam (MAKLUM). Selain itu, beliau juga sering dijemput sebagai pengulas tetap media arus perdana di dalam dan luar negara, khususnya berkaitan isu dasar luar dan politik antarabangsa.
Di UUM, beliau antara staf terawal berkhidmat bermula sebagai Tutor di Jabatan Pengurusan Awam UUM pada tahun 1993 di mana UUM mula beroperasi di Sintok pada 1990.
Dengan kata lain, beliau setia berbakti kepada UUM dan negeri Kedah sudah melebihi 32 tahun. – Kori Ariff



