General

Kerjasama strategik UUM, USM dan MSM Malaysia Holdings Berhad kongsi kepakaran rawatan air industri

Berita dan gambar Nur Azean Baharom

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjalin kerjasama strategik dengan MSM Malaysia Holdings Berhad dalam satu inisiatif penyelidikan dan perundingan bagi meningkatkan pengurusan air sisa industri di kilang MSM Johor.

Kerjasama ini dirasmikan melalui sesi pembentangan khas yang diadakan di Menara FELDA, Kuala Lumpur, yang disertai oleh Ketua Pegawai Operasi MSM Malaysia Holdings Berhad, Shahrudin Abd Rahman, serta pasukan pengurusan tertinggi syarikat.

Projek yang dinamakan Industrial Effluent Characterization Study (IECS) Driven COD Management ini bertujuan untuk mengkaji ciri-ciri air sisa industri secara komprehensif, dengan fokus kepada pengurusan Chemical Oxygen Demand (COD) yang lebih baik.

Ketua Penyelidik, Dr. Maheera Mohamad dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) berkata, kajian ini akan mengenal pasti titik-titik sumber utama dalam proses pengeluaran dan mencadangkan sistem pra-rawatan yang inovatif, efektif, dan kos efektif untuk meningkatkan kualiti efluen sebelum ia diproses lebih lanjut.

“Projek ini menggabungkan kepakaran akademik dari UUM dan USM dengan keperluan industri yang sebenar. Ia bertujuan untuk membangunkan penyelesaian pra-rawatan yang lestari dan boleh ditingkatkan skala.

“Projek yang dijangka berlangsung antara 3 hingga 6 bulan ini akan menghasilkan profil komprehensif air sisa industri, cadangan sistem pra-rawatan berasaskan mikrob yang berkesan, serta panduan operasi praktikal untuk meningkatkan kualiti efluen secara menyeluruh,” katanya.

Dr. Maheera dibantu oleh dua pakar dari USM, Prof. Madya Ir Dr. Mohamad Fared Murshed dan Prof. Madya Ir Dr. Husnul Azan Tajarudin yang membawa kepakaran dalam teknologi rawatan air sisa dan reka bentuk bioproses.

Kerjasama ini menandakan komitmen UUM dan USM dalam menyumbang kepakaran penyelidikan tempatan kepada industri negara, sekaligus memperkukuh hubungan antara universiti dan sektor korporat dalam memajukan pengurusan alam sekitar yang mampan dan inovatif.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button