Campus

MANIS raikan kecemerlangan dan dedikasi warga SAPSP UUM

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Azlin Hilma Hillaluddin

SINTOK, 15 Januari 2026: Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Apresiasi Staf (MANIS) sebagai penghargaan terhadap komitmen, dedikasi serta sumbangan cemerlang warga SAPSP sepanjang tahun 2025.

Majlis yang berlangsung dalam suasana santai namun bermakna itu telah diadakan di Manager’s Coffee, UUM pada 31 Disember tahun lalu dan dihadiri oleh barisan penjawat, pensyarah serta staf pentadbiran SAPSP.

Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani berkata, penganjuran MANIS bertujuan mengiktiraf pencapaian cemerlang staf dalam pelbagai kategori, di samping memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuh budaya kerja positif dalam organisasi.

Sepanjang majlis, beberapa anugerah telah disampaikan kepada staf yang menunjukkan prestasi cemerlang, tahap komitmen yang tinggi serta profesionalisme dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi dorongan kepada para penerima anugerah, malah diharapkan dapat menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga SAPSP untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada universiti dan masyarakat.

“Terima kasih kepada semua staf atas usaha berterusan dalam menyokong kecemerlangan akademik, penyelidikan, perundingan, penerbitan, khidmat komuniti, inovasi serta pengurusan pentadbiran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan SAPSP merupakan hasil kerjasama dan dedikasi kolektif seluruh warga SAPSP, serta berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Majlis MANIS turut dimeriahkan dengan sesi ramah mesra dan jamuan yang memberi peluang kepada warga SAPSP untuk berinteraksi dalam suasana lebih mesra dan santai, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim sesama staf.

Penganjuran majlis ini jelas mencerminkan komitmen pihak pengurusan SAPSP dalam menghargai modal insan serta membudayakan amalan apresiasi sebagai teras kepada kecemerlangan dan kesejahteraan organisasi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button