General

Pusat Islam UUM teliti reka bentuk karpet bercirikan Sintok

Gambar Pusat Islam UUM & Pusat Islam USM

SINTOK, 3 Februari 2026: Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) kini giat menjalankan kajian terperinci bagi menghasilkan reka bentuk karpet baharu Masjid Sultan Badlishah yang mencerminkan identiti unik Sintok serta nilai seni tempatan.

Pengarahnya, Mohd Yusnaidi Bin Md. Sabri berkata, usaha ini dilaksanakan melalui sesi perbincangan bersama Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) berkaitan kerja-kerja pembaikan kemudahan dan fasiliti usang di masjid berkenaan.

Perbincangan turut meneliti aspek hak cipta Cyntok Batik iaitu elemen penting yang akan diterapkan dalam reka bentuk bagi menonjolkan pencirian identiti Sintok, selain mengangkat seni budaya autentik melalui penceritaan konsep yang lebih segar dan menarik.

Sesi pada 18 Januari itu dihadiri oleh Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) SCIMPA, Prof. Madya Gs. Dr. Ruzinoor Che Mat; Timbalan Pengarah (Inovasi) Pusat Inovasi & Pengkomersilan, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad dan Pengurus Unit Seni Kreatif & Pengurusan Acara, SCIMPA, Dr. Adzira Husain.

Sebagai langkah lanjutan, satu lawatan teknikal telah diadakan pada 22 Januari lalu ke Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM), Masjid al-Malik Khalid. Lawatan ini melibatkan penyertaan pegawai daripada Pusat Islam UUM, pensyarah daripada SCIMPA, jurutera, arkitek dan pegawai pelbagai pengkhususan daripada Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI) UUM.

Delegasi ini disambut oleh Pengarah Pusat Islam USM, Zayd Zhari dan disertai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Seni USM, Dr. Siti Rohaya Yahaya yang berpengalaman luas dalam bidang tekstil serta pernah terlibat secara langsung dalam penghasilan reka bentuk karpet beberapa masjid di Malaysia.

Lawatan ini membuka ruang perkongsian kepakaran dan penambahbaikan konsep rekabentuk agar hasil akhir kelak memenuhi standard estetika, keselesaan jemaah serta ketahanan penggunaan jangka panjang.

Pusat Islam berharap reka bentuk baharu tersebut akan menjadikan Masjid Sultan Badlishah UUM tampil lebih indah, harmoni dan mempunyai identiti tersendiri yang melambangkan keunikan Sintok serta ketelitian seni tempatan.

Pusat Islam turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang telah membantu dalam pembangunan kemudahan masjid sepanjang tempoh ini.

Sumbangan tersebut amat besar ertinya dalam memastikan kelestarian fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu dan komuniti, selain mengalukan sumbangan orang ramai bagi memperkukuhkan manfaat kebajikan dan pembangunan Masjid Sultan Badlishah dan Masjid Imam al-Syafie UUM demi kesejahteraan jemaah dan masyarakat setempat. – Nor Azlinah Zaini

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button