Lawatan dan kunjungan hormat penyelidik UUM ke Kem Rejimen Sempadan 5 Bukit Kayu Hitam
Gambar SLCP
BUKIT KAYU HITAM, 3 Februari 2026: Pasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie dan dua ahli penyelidik termasuk Dr. Mohamad Faizal Matalib telah mengadakan lawatan dan kunjungan hormat ke Kem Rejimen Sempadan 5, Bukit Kayu Hitam sempena pelaksanaan Program Knowledge Transfer Program Ekonomi Madani 2026: Keusahawanan Kelulut dengan Kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Kunjungan hormat tersebut telah disambut dengan baik oleh wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional, sekali gus membuka ruang perbincangan awal berkaitan cadangan kerjasama strategik antara UUM dan ATM.

Dalam sesi perbincangan, pasukan penyelidik UUM telah membentangkan perancangan Program KTP Ekonomi Madani 2026: Projek Keusahawanan Kelulut yang dirancang sepanjang tahun 2026 untuk melibatkan 20 isteri anggota tentera sebagai kumpulan sasaran.
Projek ini yang mendapat jumlah pembiayaan dari Kementerian Pertahanan Malaysia sebanyak RM140,000 bertujuan memperkasakan ekonomi komuniti melalui aktiviti keusahawanan kepada 20 isteri pegawai ATM berasaskan penternakan kelulut yang berpotensi menjana pendapatan secara mampan.
Wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, inisiatif yang dicadangkan dilihat berpotensi memberi manfaat kepada keluarga anggota tentera, khususnya dalam aspek peningkatan kemahiran dan sumber pendapatan sampingan.
“Pihak ATM turut teruja dan memberi maklum balas positif dengan modul teori dan praktikal dalam memperkasakan pengetahuan dan kemahiran isteri pegawai ATM untuk menceburi dalam industri kelulut,” katanya.

Selain itu juga, pasukan penyelidik UUM telah menjalankan lawatan tapak bagi meninjau kawasan yang berpotensi untuk pelaksanaan projek penternakan kelulut.
Dr. Mohamad Khadafi berkata, lawatan ini bertujuan menilai kesesuaian lokasi dari aspek persekitaran, keselamatan dan kebolehlaksanaan operasi.
Pelaksanaan projek akan dimulakan dengan Latihan dan Bengkel Asas Keusahawanan dan sesi Profiling peserta, diikuti latihan praktikal akan diadakan pada bulan Mac sebelum keseluruhan projek dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Penghargaan juga diberikan kepada Pusat Kerjasama Universiti Industri (CIUC) di atas peluang dan kerjasama dalam memperoleh pendanaan dari Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).
Secara keseluruhannya, lawatan dan kunjungan hormat ini menjadi langkah awal yang signifikan ke arah pelaksanaan Program KTP Ekonomi Madani 2026: Keusahawanan Kelulut di bawah Geran Madani 2026, sekali gus memperkukuhkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan Angkatan Tentera Malaysia dalam agenda pemerkasaan komuniti. – Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib



