MDPA perkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Tinggi
Gambar Nooraini @ Noorfizani Hussein
PUTRAJAYA, 8 Februari 2026: Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam (MDPA) telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membincangkan pelbagai isu strategik berkaitan pelaksanaan dan pembangunan Program Asasi di institusi pengajian tinggi awam.
Delegasi MDPA diketuai oleh Pengerusi MDPA, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman yang juga Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dr. Muhammad Fuad berkata, kunjungan ini bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik antara MDPA dan KPT dalam usaha memperkasakan Program Asasi sebagai laluan utama kemasukan pelajar ke peringkat ijazah sarjana muda.
Menurutnya, MDPA amat menghargai komitmen dan kesediaan pihak KPT yang sentiasa memandang tinggi peranan MDPA dalam memperkukuhakn ekosistem Program Asasi negara.
“Kerjasama strategik ini amat penting bagi memastikan Program Asasi terus relevan, berkualiti dan mampu melahirkan pelajar yang bersedia untuk mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman menyambut baik agenda MDPA dalam memperkukuhkan integrasi Program Asasi sebagai laluan akademik yang mampan, inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa pendidikan tinggi negara.

Antara agenda utama perbincangan ialah peranan MDPA dalam menyelaras pelaksanaan Program Asasi di universiti awam, kedudukan semasa Program Asasi di Malaysia, cadangan pemindahan Program Tingkatan Enam dan Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke KPT, isu berkaitan standard Malaysian Qualifications Agency (MQA) bagi Program Asasi, serta permohonan peruntukan khas dan Bantuan Kewangan Asasi (BKA).
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Zainal Amin Ayub; Pengarah Bahagian Kecemerlangan Akademik, Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden; Setiausaha Bahagian, Bahagian Biasiswa KPT, Marhanum M. Haniff serta pegawai-pegawai kanan KPT dan wakil Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). – Nur Diyana Othman



