Campus

IBS UUM terima lawatan 65 delegasi Hatyai Wittayakarn School, Thailand

Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Mohd Sollehudin Shuib

SINTOK, 9 Februari 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah memperkukuhkan jaringan antarabangsa apabila menerima kunjungan delegasi seramai 57 pelajar dan lapan guru dari Hatyai Wittayakarn School, Thailand dalam satu lawatan akademik yang penuh bermakna ke UUM pada 5 Februari lalu.

Ketibaan mereka yang diketuai Pengarah Hatyai Wittayakarn School, Abdullah Seng​ telah disambut Ahli Jawatankuasa Promosi IBS, Prof. Madya Dr. Mohd Sollehudin Shuib.

Dr. Mohd Sollehudin berkata, lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan UUM dalam meraikan kehadiran pelawat daripada institusi pendidikan, sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Menurutnya, sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka, UUM sentiasa membuka ruang dan peluang kepada komuniti antarabangsa untuk mengenali dengan lebih dekat ekosistem akademik, budaya ilmu dan persekitaran kampus yang kondusif.

Delegasi dari Hatyai Wittayakarn School ini pada asalnya merancang untuk mengadakan lawatan ke IBS pada Disember 2025. Namun, perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan pada waktu berkenaan. Kesungguhan pihak sekolah untuk tetap meneruskan hasrat tersebut jelas memperlihatkan komitmen tinggi mereka terhadap pendedahan akademik dan antarabangsa buat pelajar.

Sepanjang lawatan sehari ini, pelajar dan guru berpeluang mengikuti sesi taklimat pengenalan tentang UUM serta peranan dan keunikan IBS sebagai antara peneraju pendidikan dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, muamalat serta industri halal.

Sesi interaktif turut diadakan bagi memberi ruang kepada pelajar bertanya soalan dan memahami laluan pengajian yang ditawarkan di IBS.

Selain itu, delegasi turut dibawa melawat sekitar kampus UUM yang terkenal dengan suasana kehijauan dan persekitaran pembelajaran yang selesa. Pengalaman berada dalam kampus universiti sebenar memberi gambaran awal kepada pelajar tentang kehidupan sebagai pelajar, sekali gus menyuntik motivasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

IBS melihat lawatan seperti ini sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara institusi pendidikan Malaysia dan Thailand.

Ia bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan budaya, malah menjadi platform strategik dalam mempromosikan program pengajian IBS kepada komuniti antarabangsa, khususnya dari Selatan Thailand.

Pihak IBS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hatyai Wittayakarn School atas kepercayaan dan kesudian memilih UUM sebagai destinasi lawatan akademik mereka.

Diharapkan hubungan yang terjalin ini akan terus diperkukuh melalui kolaborasi yang lebih luas pada masa akan datang, demi melahirkan generasi pelajar yang berwawasan global dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button