STML rai kreativiti dan pencapaian pelajar tahun akhir melalui Program GoGreen Symposium 2026
Berita dan gambar Dr. Mawaddah Mohamad
SINTOK, 15 Februari 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) meraikan kreativiti dan pencapaian pelajar tahun akhir melalui program “STML GoGreen Symposium 2026” yang membuka ruang kepada 341 pelajar tahun akhir STML mengasah kemahiran komunikasi, keyakinan diri, dan kebolehan berfikir secara kritis.
Acara tahunan ini menjadi platform penting bagi pelajar tahun akhir membentangkan hasil kajian dan penyelidikan kepada panel penilai yang terdiri daripada pensyarah dari STML dan panel luar dari enam universiti tempatan yang lain termasuk UMPSA, UiTM Perlis, UTHM, UniMAP, UMT serta UniSIRAJ Perlis.

Pelbagai aktiviti akademik dijalankan sepanjang program ini berlangsung seperti sesi perkongsian industri yang melibatkan Alumni UUM sebagai pengucaptama iaitu Dato’ Dr. Vijayaindiaran R.Viswalingam dari Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Abdul Razak Mohd Ghazali dari GNG Distributors Sdn. Bhd.
Melalui perkongsian industri ini, pelajar dapat memperluas jaringan profesional, memahami realiti industri, dan memperoleh inspirasi kerjaya.
Program GoGreen Symposium 2026 dirasmikan oleh mantan Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohamed Najib Salleh di mana dalam ucapannya menekankan bahawa inovasi hijau mampu mencipta perubahan besar dalam teknologi dan gaya hidup untuk masa depan yang lestari.
Sesuai dengan tema program “Green Breakthrough: Shaping Tomorrow”, beliau juga merakamkan jutaan terima kasih kepada penaja-penaja simposium ini iaitu GNG Distributors Sdn. Bhd., MSM Malaysia Holdings Berhad, Kairos Agriculture, Infineon Technologies Sdn. Bhd., Fastenal Malaysia Sdn. Bhd. dan Mokti’s Group yang jumlah keseluruhan tajaan adalah melebihi RM10,000.

Selain itu, program ini turut melibatkan Pameran Kerjaya bagi membuka ruang kepada pelajar tahun akhir STML khususnya dan semua pelajar UUM amnya bagi menghantar resume dan mengintai peluang praktikum melalui walk-in interview.
Akhir sekali, Majlis Penutup dan Makan Malam GoGreen 2026 diadakan di Foyer STML bertujuan meraikan pelajar dengan penuh gilang gemilang atas usaha dan penghargaan kepada pencapaian serta perjalanan mereka.
Dua kategori besar anugerah dipertandingkan iaitu ‘Poster Terbaik’ dan ‘Pembentangan Terbaik’, selain dimeriahkan dengan persembahan dari artis Pusat Budaya dan Seni UUM serta persembahan dari pelajar sendiri.
Selain itu, acara penutup turut yang dimeriahkan dengan kehadiran pensyarah STML diseling dengan 100 unit hadiah cabutan bertuah.



