Dari STEM ke Gelanggang: Dr. Rahela dinobat Juara Beregu Wanita Pickleball Kedah 2026
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim
ALOR SETAR, 16 Februari 2026: Prof. Madya Dr. Rahela Abdul Rahim dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif telah muncul sebagai juara dalam Kejohanan Kedah Pickleball 2026 apabila beliau bersama pasangannya, Nurul Anis Rokyzal berjaya merangkul gelaran Juara Beregu Wanita di One Pickle Club, Kompleks Simpang Kuala.
Kejayaan ini bukan sahaja menonjolkan ketangkasannya di gelanggang, malah memperkukuhkan imej sebagai seorang penyelidik aktif dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan sukan yang berusaha menghubungkan dunia akademik dengan pembangunan sukan moden.

Kejohanan yang berlangsung pada 14 Februari lalu ini menghimpunkan hampir 100 pemain dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang melibatkan pelbagai kategori:
Beregu Lelaki: 24 pasukan.
Beregu Wanita: 12 pasukan
Individu Lelaki Terbuka: 16 pemain.
Selain menjadi pentas pertandingan, kejohanan ini juga sebahagian daripada inisiatif Program 1 Bulan 1 Sukan, dengan tema Februari menampilkan sukan Pickleball sebagai usaha memperkasakan budaya hidup aktif dan sihat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din.

Penganjuran mendapat sokongan daripada Pickleball Loqstaq, One Pickle Club, Kedah Pickle Queen, Titimerah Sdn Bhd serta Pertubuhan Penggerak Masyarakat Alor Setar.
Pemenang menerima hadiah wang tunai RM1,000; naib juara RM600 dan tempat ketiga RM400, manakala bagi kategori Individu Lelaki Terbuka akan menerima RM500, naib juara RM300 dan tempat ketiga RM200.
Dengan kejayaan ini, Dr. Rahela bukan sahaja dikenali sebagai atlet berprestasi tinggi tetapi juga sebagai penyelidik yang berusaha memperkasakan bidang STEM dan sukan, menjadikannya contoh teladan bagaimana ilmu dan kecemerlangan sukan boleh digabungkan untuk memberi inspirasi kepada masyarakat.



