Campus

SLCP anjur Bengkel Road To Scopus perkasa penerbitan berimpak tinggi

Gambar Mohamad Ismadi Wasli

SINTOK, 23 Februari 2026: Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Road to Scopus: Unlock Your Research Potential pada 9 hingga 10 Februari lalu di Bilik Mesyuarat Alamanda, EDC-UUM.

Program berimpak tinggi ini dirasmikan oleh Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rofie, manakala Dr. Zamimah Osman merupakan Pengerusi Bengkel yang menyelaras keseluruhan pelaksanaan program.

Bengkel selama dua hari ini menampilkan penceramah jemputan, Prof. Madya Ts. Dr. Aidi Ahmi yang berpengalaman luas dalam bidang analisis bibliometrik dan penerbitan jurnal berindeks antarabangsa.

Penyertaan program ini melibatkan pensyarah dan penyelidik yang komited untuk meningkatkan kualiti serta kuantiti penerbitan ilmiah, khususnya dalam jurnal berindeks Scopus.

Dr. Zamimah berkata, antara pengisian utama bengkel termasuk sesi “Getting the Dataset” yang membimbing peserta mengenal pasti topik kajian, membina kata kunci yang relevan dan mereka bentuk search query secara sistematik.

Peserta turut didedahkan kepada teknik saringan dan pembersihan data bibliografi serta kaedah menyeragamkan data menggunakan perisian seperti OpenRefine.

Selain itu, sesi analisis lanjutan menggunakan VOSviewer dan Biblioshiny memberi pendedahan kepada peserta tentang cara memvisualisasikan rangkaian bibliometrik, mengenal pasti trend penerbitan serta membangunkan struktur pengetahuan dalam sesuatu bidang kajian.

Bengkel ini juga memberi penekanan kepada penyediaan manuskrip untuk jurnal berimpak tinggi melalui sesi “Drafting Bibliometric Article for High Impact Journal” di mana peserta dibimbing dalam penulisan sorotan literatur yang komprehensif, metodologi kajian yang mantap serta perbincangan dapatan secara kritis dan berstruktur. Turut disentuh ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai alat sokongan dalam analisis data dan penulisan akademik secara beretika.

Dr. Mohamad Khadafi berkata, bengkel ini diharapkan dapat mencapai objektifnya untuk memastikan 40 peserta dari beberapa unit SLCP mampu menerbitkan artikel dalam jurnal berindeks Scopus tahun ini.

Melalui pendekatan bimbingan intensif dan praktikal ini, SLCP yakin bahawa bengkel ini mampu memperkasakan kapasiti penyelidikan warga akademik, sekali gus meningkatkan keterlihatan, reputasi dan daya saing UUM di peringkat global. – Dr. Aszlan Selamat dan Dr. Haslinda Hasan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button