Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa RPTM 2026-2035 himpun 1,000 pemimpin pelajar
Berita dan gambar Atikah Maisarah Hanafi (OCJ SELECT HEP)
SHAH ALAM, 1 Mac 2026: Makmal dan Dialog Kemenjadian Mahasiswa RPTM 2026–2035 menghimpunkan hampir 1,000 perwakilan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara, baru-baru ini bagi membincangkan dan memperhalusi 10 cadangan termasuk autonomi mahasiswa dalam hak mengundi ke arah memperkukuh Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

Pengarah Program, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, program ini menjadi platform penting membentuk pemikiran kritikal pelajar serta memperkasa suara mereka sebagai rakan wacana dalam pembentukan dasar pendidikan tinggi negara.
Universiti Utara Malaysia menyerlah sebagai pengelola utama dengan penglibatan 17 pelajar dalam pengurusan program dan penyertaan aktif 33 MPP UUM dalam setiap perbincangan lonjakan.
Pembentangan program turut disaksikan Naib Canselor UUM, Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamed serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr Ram Al Jafri Saad yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang menyifatkan program ini sebagai platform terbaik menghimpunkan pimpinan pelajar dan memaklumkan cadangan yang dikemukakan akan dipertimbangkan dalam pelaksanaan rancangan pendidikan tinggi negara.
Program ini memperkukuhkan peranan UUM dalam melahirkan kepimpinan pelajar yang matang berani dan berdaya saing serta menyumbang kepada masa depan pendidikan tinggi Malaysia.



