Cabaran matematik meriahkan Program STI 100 di SK Padang Perahu
Berita dan gambar Norhafiza Mohd Noor
KODIANG, 1 Mac 2026: Program STI 1003 Kitaran 2 Tahun 2025 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Seri Maharaja, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Perahu pada 16 Disember tahun lalu.

Program ini diketuai oleh Norhafiza Mohd Noor bersama tiga lagi saintis iaitu Yuhaniz Ahmad, Ayu Abdul Rahman dan Zakiah Hashim yang komited membimbing murid sepanjang aktiviti berlangsung.
Program itu melibatkan seramai 52 murid Tahun 5 dan Tahun 6 yang didedahkan dengan aktiviti pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Norhafiza berkata, antara aktiviti yang dijalankan ialah Math Bingo Challenge dan Math target Challenge yang bertujuan mengukuhkan kemahiran asas matematik serta meningkatkan kepantasan berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam kalangan murid.

Menurutnya, aktiviti-aktiviti ini berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif, ceria dan kompetitif secara sihat.
Sementara itu, Guru Besar, Abidah Hashim dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada pihak Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) kerana memilih SK Padang Perahu sebagai lokasi pelaksanaan program.
Beliau berharap agar murid-murid dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh serta terus memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program STI 1003 ini diharapkan dapat memberi impak positif dan berterusan dalam memperkasakan pendidikan STEM di peringkat sekolah rendah.



